PARLIMEN | Kementerian Perpaduan hari ini berkata kerajaan memandang serius sebarang bentuk ekstremisme agama yang mengancam keharmonian masyarakat serta keselamatan negara.
Menterinya, Aaron Ago Dagang berkata bahawa tindakan tegas dan tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menyalahgunakan agama untuk menyemai kebencian, menghasut perpecahan ataupun mencabar ketenteraman awam.
"Walaupun perbahasan bersuara dijamin, hak tersebut tidak bersifat mutlak dan tidak boleh disalahgunakan sehingga menyentuh isu perkauman, isu agama, dan isu institusi diraja," katanya dalam ucapan penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Aaron berkata demikian mengulas RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mempersoalkan alasan kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap beberapa pendakwah bebas yang menurutnya mencetuskan polemik dan isu perkauman.
"Kenapa tidak ada sehingga sekarang sebarang tindakan diambil terhadap Zamri Vinoth, terhadap Cikgu Chandra, terhadap Ridhuan Tee, terhadap individu seperti Firdaus Wong yang akan menganjurkan satu perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram pada 7 hari bulan Februari di Sogo Kuala Lumpur?" soal pemimpin DAP itu.
Aaron membalas bahawa kementeriannya menyokong sepenuhnya tindakan polis yang bekerjasama rapat dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengenal pasti dan menyiasat serta mendakwa pihak-pihak terlibat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Akta Hasutan, Kanun Keseksaan, serta Akta Komunikasi dan Multimedia.
"Kerajaan juga komited memastikan ruang media sosial kekal sebagai platform yang selamat beretika dan bertanggungjawab - tiada toleransi akan diberikan pada mana-mana bentuk ekstremisme sama ada di dunia fizikal ataupun mahupun digital," katanya.
Rayer kemudian meminta Aaron memberi jaminan Himpunan Anti Rumah Anutan dibatalkan oleh pihak kerajaan.
Bagaimanapun, Aaron berkata keputusan untuk membatalkan perhimpunan itu terpulang kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"Saya dah jawab tadi. Itu terpulang kepada Kementerian atau agensi yang dapat membanteras kegiatan sebegitu. Iaitu KDN dan polis," katanya.
Untuk rekod, Zamri, yang bertindak sebagai penyelaras Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram, dilaporkan bakal mengetuai demonstrasi di hadapan kompleks beli-belah Sogo pada 7 Februari ini bagi mendesak penguatkuasaan terhadap rumah ibadat yang dibina tanpa izin.
Semalam, Malaysiakini melaporkan Zamri telah menyerahkan notis kepada polis Dang Wangi bagi memaklumkan mengenai demonstrasi berkenaan yang dikatakan akan melibatkan kira-kira 141 NGO.
Zamri sebelum ini menafikan perhimpunan itu mempunyai kaitan dengan lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Malaysia pada hujung minggu ini, sebaliknya menyifatkan tarikh tersebut sebagai satu "kebetulan".





