33.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, June 6, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Lihat, dahi saya tak ada tanduk – ketua parti pembangkang Singapura

    Shopee Sale

    WAWANCARA | Setiausaha Agung Parti Demokratik Singapura (SDP), Chee Soon Juan pada wawancara bersama Malaysiakini mengimbau kembali perjuangan peribadi dan politik yang dilaluinya serta harapannya terhadap masa depan Singapura yang lebih terbuka dan saksama.

    Bapa kepada tiga anak berusia 63 tahun itu, yang mengharungi puluhan tahun kekalahan pilihan raya tetapi masih bertahan dalam politik, membincangkan pelbagai isu termasuk kesihatan mental, tekanan sosial dan ekonomi, Fail Albatross, serta perananan pembangkang dalam suasana demokrasi yang sangat terkawal.

    Dia bercakap secara terus terang mengenai kesan emosi sepanjang perjalanan politiknya, menggambarkan saat-saat keraguan di samping ketabahan yang membuatkannya terus terlibat dalam kehidupan awam.

    Bagi Chee, ketekunan bukan sekadar strategi politik, sebaliknya keyakinan yang ditempa dengan menempuh kesukaran selama bertahun-tahun.

    Berikut petikan wawancara tersebut:

    Malaysiakini: Anda berdepan banyak rintangan sepanjang perjalanan politik, dari penangkapan hingga kes mahkamah. Anda juga pernah menyebut ketika pilihan raya 1997, anjing anda diracun, bekalan elektrik dipotong dan tayar kereta anda ditoreh. Boleh anda jelaskan lebih lanjut?

    Chee: Ada satu tempoh sebelum kemunculan internet, media sosial dan segala-galanya, apabila apa sahaja yang sampai kepada orang ramai pada asasnya digambarkan oleh media, iaitu media milik negara. Itu zaman yang sangat suram. Bukan sahaja saya berdepan masalah-masalah itu, malah orang ramai turut melihat saya dengan cara tertentu dan pada tahap tertentu, saya tidak menyalahkan mereka.

    Selepas munculnya YouTube dan Facebook, ada orang datang berjumpa saya dan memandang tepat ke mata saya lalu berkata dengan penuh ikhlas, “Anda tidak gila.”

    Dan serius, dalam satu sudut, mereka boleh melihat sendiri 'tiada tanduk tumbuh di dahi' saya.

    Tetapi itulah kuasa media, bagaimana ia mampu membentuk persepsi. Sebab mereka menganggap saya gila ialah kerana (bekas perdana menteri Singapura) Lee Kuan Yew ketika itu berkata dia telah berbincang dengan beberapa rakannya yang merupakan doktor dan mereka menyifatkan saya hampir seperti seorang psikopat (tidak siuman). Label itu terus melekat.

    Sebab itulah apabila orang bertemu saya secara bersemuka, mereka berkata, “Anda langsung tidak seperti yang kami sangkakan.” Dan itu detik-detik yang sangat menyedihkan dan tragis.

    Saya tidak bercakap tentang diri saya semata-mata, tetapi apabila ada individu yang sah dan berwibawa mempersoalkan sistem — bukan mahu meruntuhkannya, tetapi mahu memperbaiki apa yang ada — mereka dipinggirkan manakala aktiviti yang sah pula dijenayahkan. Dan perkara itu masih berlaku hingga hari ini. Itulah yang membuat saya bimbang tentang masa depan Singapura.

    Hakikat saya masih perlu bercakap dengan Malaysiakini, yang pernah saya lakukan sebelum ini, sebenarnya satu gambaran yang menyedihkan, bukan begitu? Di negara sendiri, media saya sendiri tidak pernah meminta saya untuk diwawancara.

    Saya tarik balik sedikit kenyataan itu. Ada sebuah stesen radio yang pernah menghantar e-mel kepada saya dan berkata mereka mahu mewawancara saya. Tetapi beberapa minit kemudian mereka berkata: “Maaf, kami terpaksa menangguhkan temu janji itu. Kami sudah menemui orang lain.”

    Sudah setahun berlalu dan saya masih menunggu jemputan itu.

    Adakah anda melihat Perdana Menteri Lawrence Wong akan membuka ruang demokrasi sedikit atau meneruskan tradisi lama?

    Ada sebahagian diri saya yang masih menyimpan harapan bahawa apa sahaja boleh berlaku. Tetapi apabila melihat dan mendengar apa yang berlaku, ia mula kelihatan lebih seperti angan-angan.

    Dan anda perlu faham, selepas puluhan tahun dakwaan pembohongan yang menginstitusi serta budaya dalam parti itu sendiri, saya tidak akan terlalu berharap.

    Bagaimana masa depan pembangkang di Singapura?

    ...Jika anda membaca apa yang dikatakan pemenang Hadiah Nobel, Darren Acemoglu, dia menyebut bahawa demokrasi akhirnya menjadi sesuatu yang penting untuk kemajuan. Anda tidak boleh terus mengekang pandangan rakyat dan pada masa sama berharap untuk terus berkembang.

    Saya tidak dapat memberikan jawapan yang lebih baik selain memetik kata-kata pengasas bersama Apple, Steve Wozniak. Dia pernah datang ke Singapura dan pada asasnya berkata bahawa anda tidak akan melihat sebuah (syarikat) Apple lahir di Singapura.

    Kenapa? Kerana anda telah menghapuskan daya kreatif dan unsur kreatif dalam masyarakat.

    Kemajuan memerlukan pemikiran luar kotak yang berani mempersoalkan autoriti dan tidak melihatnya sebagai kekacauan.

    Sebenarnya, begitulah manusia mencapai kemajuan, sama ada (Albert) Einstein, Stephen Hawking dan ramai lagi. Mereka tidak pernah menerima sesuatu sebagai kebenaran mutlak. Mereka mempersoalkan autoriti, memperluaskan pemikiran dan memajukan tamadun manusia. Itulah sejarah umat manusia.

    Apa yang membuat Singapura begitu istimewa? Adakah kita benar-benar percaya kita boleh terus berkembang besar hanya dengan mengekalkan kawalan autoritarian terhadap pemikiran rakyat?

    Ia tidak akan berjaya. Ia tidak akan berjaya.

    Sebab itu saya berkata, seseorang hidup dan mati dengan pedangnya sendiri. Maksud saya, jika anda masih percaya legitimasi hanya datang daripada pertumbuhan ekonomi. Kini kita sudah sampai ke tahap pulangan semakin berkurangan.

    Anda tidak boleh terus meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi hanya dengan bekerja lebih keras dan lebih murah. Kita tidak lagi mampu bersaing melalui pendekatan itu.

    Pilihan terbaik sekarang ialah memastikan kita mampu bersaing dengan yang terbaik di dunia dari segi idea, kreativiti dan inovasi.

    Dan tahukah anda? Cara untuk mewujudkan masyarakat yang berfikir di luar kebiasaan ialah melalui keterbukaan — budaya, politik dan budaya korporat — yang tidak membuat orang takut untuk berfikir secara kreatif.

    Saya teringat kempen "Think Different" oleh Steve Jobs. Ingat lagi? Dia memaparkan gambar orang-orang yang dianggap pelik dan berkata: mereka inilah golongan yang tidak mengikut peraturan secara membuta tuli, yang sentiasa mempersoalkan autoriti. Merekalah yang mengubah dunia.

    Itulah yang saya cuba sampaikan.

    Jika kita mahu menjadi pemimpin dan bukan sekadar pengikut — dan saya bercakap tentang Singapura sebagai sebuah masyarakat — kita mesti melangkaui budaya di mana kerajaan berkata “lompat” dan kita menjawab “setinggi mana?”

    Kita tidak boleh terus begitu.

    Mungkin pendekatan itu sesuai ketika era pembangunan dahulu, tetapi kini kita sudah sampai ke tahap yang memerlukan kematangan baru, apabila mempersoalkan sistem tidak dianggap sebagai tidak setia kepada negara.

    Sebab itulah saya bimbang dengan keadaan kami sekarang, apabila pembangkang masih dilihat sebagai pihak yang mahu meruntuhkan masyarakat. Itu tidak sihat.

    Jadi, tindakan memburukkan seseorang (lawan politik) itu masih berlaku?

    Saya bimbang ia masih berlaku.

    Walaupun banyak kemajuan telah dicapai, masih ada segmen masyarakat yang sangat takut.

    Bagaimana pula dengan generasi muda? Adakah mereka mudah dipengaruhi seperti generasi lebih tua?

    Di situlah letaknya harapan Singapura.

    Pada pilihan raya lalu khususnya, kami di SDP melihat lonjakan besar golongan muda yang mahu mendekati dan menyokong kami.

    Jika anda melihat tinjauan selepas pilihan raya, perbezaan sokongan mengikut umur sangat jelas. Saya fikir kami lebih menarik perhatian golongan milenial dan Gen Z.

    Dalam hal itu, saya rasa generasi muda Singapura mula melihat perkara secara berbeza kerana mereka lebih banyak berada dalam talian. Mereka tidak menonton media negara. Mereka menggunakan TikTok, Instagram dan sebagainya.

    Jadi saya terus menyimpan harapan.

    Tambahan pula, generasi berkenaan mula merasai tekanan daripada sebuah masyarakat dan ekonomi yang hampir mencapai had kemampuannya.

    Kita bercakap tentang kesihatan mental, peluang pekerjaan dan kos sara hidup.

    Perumahan pula semakin tidak mampu dimiliki.

    Apabila anda bercakap dengan mereka, zaman sudah berubah dan mereka mahukan perubahan, tetapi kerajaan masih gagal mengikuti perkembangan itu selain retorik dan slogan semata-mata.

    Anda juga mengaitkan perkara ini dengan kemasukan warga asing kaya yang meningkatkan ketidaksamaan?

    Saya telah berhujah tentang perkara ini sejak sekian lama.

    Haluan yang sedang kita ambil sekarang memerlukan kita bergantung kepada apa yang kita hasilkan dan jual kepada dunia.

    Tetapi jika dilihat, kita hampir tidak menjual apa-apa.

    Lihat Sweden misalnya, sebuah negara kecil dengan jumlah penduduk sedikit lebih ramai daripada Singapura. Lihat Korea Selatan dan Taiwan. Mereka mempunyai produk yang dijual ke seluruh dunia.

    Apa yang kita lakukan? Ia sejenis tingkah laku rent-seeking (yang mencari keuntungan tanpa mencipta nilai sebenar).

    Menulis semula undang-undang, menjadi bidang kuasa yang penuh kerahsiaan, menjadikan undang-undang perbankan tertutup dan akhirnya menjadi syurga elak cukai.

    Kemudian kita menarik bilionair dari luar negara.

    Daripada James Dyson hingga Ray Dalio dan bilionair China, mereka menjadikan Singapura sebagai rumah mereka. Kita mempunyai jumlah bilionair per kapita tertinggi di dunia.

    Di situlah masalah bermula kerana jurang kekayaan semakin melebar.

    Tambahan pula, kerana Singapura sebuah pulau, tanah menjadi sumber paling bernilai.

    Golongan kaya ini membeli hartanah pegangan bebas (freehold), sedangkan majoriti rakyat hanya layak memiliki rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang berstatus pajakan 99 tahun.

    Akhirnya, selepas beberapa generasi, majoriti rakyat tidak dapat mewariskan aset itu kerana nilainya menjadi sifar selepas 99 tahun.

    Sebaliknya, mereka yang memiliki tanah pegangan bebas boleh terus mewariskannya kepada anak-anak mereka.

    Dengan pergerakan masa, jurang ketidaksamaan itu semakin membesar.

    Dan bersama-sama dengannya datang pelbagai masalah lain — hakisan kepercayaan, kos ekonomi, kenaikan kos sara hidup dan inflasi.

    Semua ini cuba kami jelaskan kepada kerajaan.

    Namun, disebabkan cara pemikiran mereka yang sclerotic ('jumud'), sehingga tidak mampu menerima idea-idea baru serta melihat masalah yang perlu kita kenal pasti dan sekurang-kurangnya cukup berpandangan jauh untuk menjangkakannya. Akibatnya, usaha tersebut tidak ke mana-mana.

    Singapura sering berbangga dengan pengurusan hubungan kaum, tetapi anda baru-baru ini menuduh PAP bermain politik identiti.

    Sebenarnya mereka yang mula bermain api dengan menuduh kami dan salah seorang anggota kami mengamalkan politik identiti.

    Jawapan saya mudah. Kami bersedia berdebat dengan mereka di mana-mana, pada bila-bila masa, dan kami akan menunjukkan secara terperinci bagaimana mereka sendiri memainkan politik identiti.

    Kita mempunyai sistem yang dipanggil Kawasan Perwakilan Berkumpulan (GRC).

    Alasan asalnya ialah kononnya majoriti pengundi Cina tidak mahu mengundi calon minoriti.

    Mari kita lihat bukti.

    Ketua menteri pertama Singapura bukan berbangsa Cina. David Marshall ialah seorang Yahudi Iraq.

    (Pemimpin pembangkang terdahulu) JB Jeyaretnam pernah bertanding bersama calon Cina dan menewaskan calon PAP yang juga berbangsa Cina.

    Jadi jika dilihat secara keseluruhan, dakwaan itu tidak benar dari segi fakta.

    Dari sudut pandangan kami, satu-satunya sebab sistem GRC diwujudkan ialah untuk terus memainkan sentimen antara kaum.

    Membuat kumpulan etnik saling curiga antara satu sama lain.

    Itulah yang saya maksudkan dengan politik perkauman.

    Kemudian mereka meminda perlembagaan bagi memastikan calon presiden mesti seorang Melayu.

    Malah anggota Melayu kami sendiri berkata: “Tidak, itu tidak betul. Kami boleh bersaing atas merit tanpa perlu pindaan seperti itu.”

    Sebab itu saya sentiasa mencabar mereka supaya berdebat dengan kami. Kami akan tunjukkan siapa sebenarnya yang bermain... politik perkauman.

    MENARIK:  Albert Tei tak sabar tunggu saman Azam Baki

    Dan itu tidak baik untuk masa depan.

    Adakah ramai rakyat Singapura melihat perubahan politik sebagai usaha sia-sia? Bagaimana kesannya kepada pembangkang?

    Sejak sekian lama, ramai orang hanya menuduh saya, kononnya saya seakan terus menghentak kepala ke dinding. Mereka kata, cuba teka siapa yang akhirnya akan rugi — begitulah lebih kurang tanggapannya.

    Tetapi saya selalu menjawab bahawa perkara yang lebih pelik pernah berlaku di dunia dan juga di Singapura.

    Pada 1999, jika saya memberitahu orang bahawa suatu hari nanti akan ada Speakers' Corner tempat orang boleh berhimpun dan mengadakan protes, mereka pasti akan mentertawakan saya.

    Tetapi setahun kemudian, kerana saya terus mendesak dan bertanya, “Mengapa kita tidak boleh mempunyai kebebasan bersuara yang lebih besar? Apa yang kerajaan takutkan?”

    Dan ternyata, ketika Lee Kuan Yew menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, seorang wartawan bertanya: 'Mengapa Singapura tidak mempunyai kebebasan bersuara seperti ini?'

    Susulan itu, saya memulakan kempen berucap secara terbuka di khalayak ramai. Namun ketika itu anda tidak dibenarkan berbuat demikian tanpa permit, dan saya percaya permit tersebut tidak akan diberikan kepada saya dalam apa jua keadaan.

    Saya didakwa, enggan membayar denda dan dipenjarakan.

    Tetapi tindakan itu mencetuskan perbincangan yang akhirnya membawa kepada kerajaan membuka ruang kebebasan bersuara di Hong Lim Park.

    Apa yang saya cuba katakan ialah kadangkala sesuatu kelihatan mustahil sehinggalah ia berlaku.

    Kemudian semua orang akan berkata, “Ya, memang sudah dijangka.”

    Perkara seperti itu berlaku di seluruh dunia.

    Jika anda tidak mencuba, tidak merancang dan tidak berharap, tiada apa akan berlaku.

    Tetapi apabila anda mencuba, walaupun tidak berjaya, anda tidak kembali ke titik sifar.

    Anda sentiasa bergerak ke hadapan.

    Dan sebagaimana anda berdiri di atas bahu mereka yang datang sebelum anda, akan ada orang lain yang membina di atas apa yang telah anda lakukan.

    Dan kita tidak bercakap tentang tempoh lima tahun akan datang. Mungkin perubahan itu hanya berlaku dalam tempoh 10 tahun, mungkin juga tidak sempat berlaku dalam hayat saya sendiri. Namun jika kita tidak memulakannya sekarang, orang lain tidak akan dapat meneruskan usaha tersebut."

    Apakah pandangan anda terhadap Malaysia selepas PRU 2018? Kini ramai penyokong Pakatan Harapan berasa kecewa.

    Saya tidak akan berpura-pura mengetahui politik Malaysia secukupnya untuk memberi ulasan yang kompeten.

    Tetapi satu perkara yang boleh saya katakan ialah tiada siapa pernah berkata demokrasi itu kemas dan teratur.

    Ia mengambil masa bertahun-tahun, malah berdekad-dekad, sebelum sesebuah negara mencapai kestabilan.

    Saya fikir Malaysia, walaupun perubahan itu berlaku beberapa tahun lalu, masih mencari haluannya.

    Ia memang kelihatan berselerak.

    Tetapi harga kebebasan ialah kewaspadaan yang berterusan, bukan? Dan inilah yang saya katakan, selagi ada peluang, selagi ada harapan, akan muncul orang, akan muncul pemimpin yang mampu membawa sistem itu ke hadapan dan menjadikannya lebih baik daripada keadaan selepas pilihan raya sebelumnya.

    Dan di sinilah saya sentiasa mahu terlibat. Saya melihat keseluruhan idea mengenai daya tahan itu sangat penting, khususnya pada zaman sekarang, dengan apa yang sedang berlaku di seluruh dunia. Demokrasi sedang berdepan ancaman. Dan di sinilah saya fikir pendidikan golongan muda yang sedang meningkat dewasa amat penting, dari segi memahami apa yang membentuk demokrasi dan apa yang membentuk sebuah masyarakat sivil yang tersusun.

    Mampu membawa proses pendidikan itu ke hadapan dan kemudian menerapkan keseluruhan idea membina daya tahan. Anda tidak akan sampai ke tahap itu dalam satu percubaan sahaja, betul? Tetapi ia akan terus dibina dari satu generasi ke generasi berikutnya, dan itu memerlukan daya tahan.

    Jika anda melihat kepada ciptaan dan kemajuan dunia, mana-mana sistem yang berjaya sentiasa bermula dengan pasang surutnya sendiri, bukan? Dalam erti kata lain, anda melangkah setapak ke hadapan, kemudian dua langkah ke belakang, tetapi anda tetap meneruskan usaha untuk mencapai kemajuan.

    Dan setakat politik Malaysia, kita selalu mengatakan ia masih berada pada peringkat awal perkembangannya.

    Apakah pemikiran di sebalik penyahrahsiaan Fail Albatross pada masa ini?

    Naluri pertama saya ialah: mereka kembali lagi.

    Selepas lebih setengah abad, mereka masih mahu bercakap tentang bagaimana Singapura mencapai kemerdekaan.

    Di sinilah bahagian diri saya yang cenderung kepada teori konspirasi itu terus kembali kepada satu perkara, iaitu, anda tahu, seseorang itu sudah melalui zamannya. Sekarang dia mahu kembali mengenang zaman kegemilangannya.

    Tetapi pada masa sama, saya juga perlu mengakui satu perkara, iaitu keadaan pada waktu itu begitu kabur, dan pelbagai pihak mula muncul dengan perananan masing-masing. Dan keseluruhan persoalan sama ada Singapura mahu keluar (dari Persekutuan Malaysia) lalu mengatur perkara itu, atau sama ada ia disingkirkan, semuanya masih sangat kabur, dengan pelbagai teori dan versi cerita yang bersaing antara satu sama lain.

    Malangnya, para pencerita yang mengetahui kisah tersebut telah membawa cerita itu bersama mereka ke liang lahad. Apa yang boleh kita lakukan sekarang ialah menggali artifak sejarah atau apa sahaja dokumen yang masih wujud. Dan cuba membina semula gambaran peristiwa itu dari bahan-bahan tersebut.

    Tetapi seperti yang saya katakan, di satu pihak ada Lee Kuan Yew yang menangis di televisyen. Namun, saya tahu timbalan perdana menterinya, Dr Toh Chin Chye, pernah secara terbuka berkata perkara itu dirakam. (Katanya) ‘Saya tidak tahu mengapa PM menangis…’ lebih kurang begitu. Jadi kekeliruan itu masih wujud hingga hari ini.

    Dan seperti yang saya katakan, lihatlah, saya bercakap tentang sejarah, bukannya mengatakan sejarah tidak penting. Orang yang tidak mengetahui dari mana asal-usulnya tidak akan tahu ke mana arah tujuannya. Jadi aspek itu memang penting.

    Tetapi buat masa ini, berhentilah terus mengungkit masa lalu. Sebaliknya, yang lebih penting, gunakan tenaga dan masa untuk melihat segala yang sedang berlaku sekarang — geopolitik, kemunculan AI dan sebagainya. Semua itu sangat penting. Terdapat begitu banyak isu besar yang perlu kita beri perhatian. Dan marilah kita memberi tumpuan kepada apa yang perlu kita lakukan untuk melangkah ke hadapan.

    Adakah anda fikir Fail Albatross muncul pada waktu yang sangat disengajakan?

    Ya, saya cuma merasakan ia sesuatu yang pelik, tak begitu? Di sini anda berada dalam keadaan di mana saya fikir segala-galanya berkaitan memoir Lee Kuan Yew dan sebagainya sudah pun mencatatkan kisah itu sehingga, anda tahu, tiada apa lagi yang perlu diperkatakan.

    Dan tiba-tiba muncul Albatross Files. Dan nampaknya ia kini menjadi semacam muzium interaktif... Dan saya tertanya-tanya, apa yang sebenarnya mahu dilakukan dengannya? Baiklah. Selepas beberapa ketika, ya, anda mahu tahu kerana itu sebahagian daripada sejarah kita. Betul. Tetapi pada akhirnya, perkara terbaik yang boleh dikatakan mengenainya ialah ia sangat kontroversi. Jadi, marilah kita bergerak ke hadapan.

    Kemudian mereka pula mahu membina Founders Memorial (yang dijadual dibuka pada penghujung 2028), dengan perbelanjaan melebihi AS$300 juta pada waktu rakyat Singapura sedang merungut mengenai kos sara hidup. Di situlah saya menarik garis pemisah apabila kelompok pemerintah mula melihat ada nilai dalam usaha mengagungkan diri sendiri, bukan? Propaganda besar-besaran, perkara seperti itu.

    Pada waktu itu, penggabungan dengan Malaysia dilihat sebagai burung albatros yang tergantung di leher (beban yang menghalang) Singapura. Apakah yang anda fikir menjadi albatros yang tergantung di leher Singapura hari ini?

    Saya tidak berselindung dalam kata-kata saya. Kerajaan autoritarian inilah yang akan membawa kepada kehancuran kita.

    Mereka yang telah merasai kekayaan dan kuasa. Dan apabila saya bercakap tentang kekayaan, bukan dalam erti kata... Anda tahu menteri-menteri kita dibayar jauh lebih tinggi daripada orang lain. Perdana Menteri Singapura dibayar, saya fikir, sekitar S$180,000 sebulan.

    Dan di sinilah saya fikir apabila seseorang begitu terpikat dan terpesona dengan kekayaan seperti itu, masalahnya ialah apabila semua menteri anda menerima imbuhan sebesar itu, sesiapa yang mahu mengangkat tangan dan berfikir secara bebas serta berkata, ‘Saya tidak fikir kita patut melakukan ini’, pasti akan berfikir dua kali kerana terlalu banyak yang dipertaruhkan dari segi kewangan. Kemudian anda sampai kepada keadaan di mana wujud begitu banyak pemikiran secara berkelompok (groupthink) dan keengganan untuk berfikir di luar kebiasaan serta berkata, ‘Lihat, masalah ini sedang menghampiri, masalah ini semakin besar, dan kita perlu melepaskannya. Kerana jika tidak, akan ada kesan yang sangat besar pada masa depan.’ Dan di sinilah kedudukan kita sekarang.

    Sebab itu saya tidak mengatakan perkara ini secara sambil lewa. Kerajaan yang telah memimpin Singapura selama ini, parti yang telah memimpin Singapura selama bertahun-tahun, kini berdepan masalah mempercayai kejayaannya sendiri sehingga tidak lagi mahu mempertimbangkan sebarang alternatif. Dan di situlah letak bahayanya.

    Sekarang, Singapura juga tiada ketua pembangkang?

    Ya, maksud saya, di sinilah saya katakan, ia hampir-hampir, saya tidak suka mengatakannya, tetapi ia seolah-olah bersifat seperti kuasa tuhan, kuasa yang diberikan oleh kerajaan juga boleh ditarik balik olehnya. Sebab itu saya katakan, tidak, kuasa mesti berada di tangan rakyat.

    Rakyat yang akhirnya menentukan segala-galanya, kerana kerajaan hanyalah pemegang amanah kuasa. Tetapi apabila anda mengambil pendirian bahawa, ‘Saya pemberi kuasa’, maka di situlah masalah mula timbul.

    Dan saya sentiasa mengatakan bahawa dalam kalangan pembangkang, masalahnya ialah mereka tidak dapat membayangkan pembangkang sebagai sebuah institusi yang mampu membangunkan Singapura.

    Dan kami telah memainkan perananan kami. Maksud saya, SDP telah mengemukakan kertas-kertas dasar. Saya bukan bercakap tentang dua atau tiga halaman sahaja; kami telah menjalankan penyelidikan kami. Dan banyak daripada idea serta cadangan ini telah diambil dan dilaksanakan oleh kerajaan.

    Saya akan berikan satu contoh, iaitu dalam bidang pendidikan. Tiga dekad lalu, pada buku pertama yang saya terbitkan, saya mempersoalkan kebijaksanaan dasar pengasingan aliran (streaming) bagi murid sekolah rendah.

    Dan saya berkata, apabila anda meletakkan mereka di sekolah yang berbeza - (mengikut kategori) terbaik, lebih baik, lemah - kanak-kanak akan memenuhi ramalan yang mereka percayai tentang diri mereka sendiri. Dan saya berkata, terlalu banyak stigma, pelabelan dan sebagainya sedang berlaku. Tiga puluh tahun kemudian, kerajaan mengakuinya.

    Saya terus menekankan perkara ini kerana kami (pembangkang) bukan mahu meruntuhkan masyarakat. Kami melihat sesuatu dari sudut pandang yang berbeza, yang kadangkala lebih mencerminkan realiti berbanding dasar-dasar yang dikemukakan oleh kerajaan.

    Jadi saya katakan, keseluruhan sinergi ini penting. Penting untuk mempunyai pembangkang yang kuat, kerajaan yang kuat dan masyarakat sivil yang kuat. Itulah jalan ke hadapan.

    [Baca laporan asal]

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah