Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa wang berjumlah RM24.4 juta dibayar kepada sebuah syarikat kejuruteraan dan pembinaan bagi Projek Membina Jalan Baru Menyambung Felda Bukit Jalor Ke Gemas.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan Wan Hasnan Wan Musa, 51, berkata Kerajaan Malaysia bersetuju menerima tawaran tender daripada KCJ Engineering Sdn Bhd dengan harga RM62 juta untuk tempoh kontrak selama 34 bulan.
"Berdasarkan Tatacara Perolehan Kerajaan, saya sahkan satu kontrak perlu disiapkan dalam tempoh tiga bulan selepas tarikh Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan. Saya sahkan projek ini bermula pada 22 Dis 2021 dan saya melaksanakan tugas sebagai Pegawai Penguasa bagi projek ini," kata saksi pendakwaan ke-17 itu.
Dia berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.
Sebelum ini, bekas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam keterangannya berkata KCJ Engineering adalah antara 54 syarikat yang dicadangkan oleh perdana menteri ketika itu menerusi surat bertarikh 13 Nov 2020 bagi melaksanakan projek di bawah Program Jana Wibawa secara rundingan terus.
Dirujuk baucar bayaran Kerajaan Malaysia melalui JKR Negeri Sembilan kepada syarikat tersebut, Wan Hasnan yang dilantik sebagai pengarah JKR negeri bermula 1 Sept 2021 sehingga kini, turut mengesahkan mengenai pembayaran wang berjumlah RM24 juta dibuat menerusi 10 transaksi bermula 26 Mei 2022 hingga 15 Feb 2023 ke akaun bank milik KCJ Engineering.
Wan Hasnan juga mengesahkan mengenai dokumen baucar bayaran kepada KCJ Engineering bertarikh 26 Mei 2022 berjumlah RM10 juta yang merupakan bayaran wang pendahuluan.
"Saya sahkan tujuan bayaran ini dibuat adalah bagi bayaran wang pendahuluan kontrak bagi Projek Membina Jalan Baru Menyambung Felda Bukit Jalor Ke Gemas.
"Berdasarkan baucar bayaran ini, saya sahkan bahawa bayaran dibuat sebanyak RM10 juta ke akaun bank KCJ Engineering," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Mohd Afzal.
Sementara itu, Wan Hasnan turut mengesahkan tiga bayaran yang disyorkan berjumlah RM4.7 juta bagi projek sama, namun memaklumkan bayaran itu tidak dibuat kepada kontraktor utama kerana tiada peruntukan.
Pada prosiding sebelum ini, Pegawai Operasi Maybank Cawangan Shah Alam, Chang Hui Chin, 50, memberitahu mahkamah bahawa terdapat empat kemasukan wang berjumlah RM800,000 ke akaun Bersatu daripada KCJ Engineering pada 1 Sept 2022.
Sementara itu, disoal Wan Nur Iman mengenai perkembangan terkini projek itu, Wan Hasnan berkata projek itu dijangka siap sepenuhnya penghujung Julai ini.
"Kontraktor menyiapkan beberapa bahagian projek dan setiap jurutera daerah akan melaporkan 'progress' projek dalam mesyuarat bulanan. Baki kerja dijangka siap sepenuhnya akhir bulan ini," kata saksi.
Kepada soalan peguam Chetan Jethwani yang mewakili Muhyiddin, saksi itu bersetuju bahawa Pejabat Perdana Menteri (PMO) ketika itu tidak campur tangan dalam urusan mengeluarkan bayaran atau wang pendahuluan kepada KCJ Engineering.
Muhyiddin, 79, yang ketika kejadian ialah Perdana Menteri dan Presiden Bersatu berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat, iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Anggota Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan kes di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.





