Tangisan Zara Qairina Mahathir sambil menjerit “aku nda curi bah” pada malam sebelum mangsa ditemukan meninggal dunia, menjadi detik terakhir yang diingati rakan sebiliknya.
Keterangan itu diberikan saksi kanak-kanak ke-18, yang belajar serta tinggal sebilik dengan Zara Qairina di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, pada hari ke-26 prosiding inkues di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini.
Berkongsi keterangan saksi itu, peguam Mohd Syarulnizam Mohd Salleh yang mewakili ibu kepada Zara Qairina berkata saksi memaklumkan bahawa pada malam sebelum kejadian (15 Julai), dia terdengar suara pelajar dari arah depan dorm memanggil Zara Qairina untuk datang ke bilik dorm sebelah berjumpa dengan pelajar senior.
Dia berkata pada ketika itu, Zara Qairina dilihat sedang menulis sesuatu di hadapan lokar miliknya sebelum bangun dan menuju ke bilik berkenaan.
“Apabila Zara kembali ke biliknya sekitar jam 11.00 malam, saksi berkata arwah terus baring di lantai sambil menangis, sebelum menjerit perkataan itu.
“Sebelum saksi tidur, dia masih melihat Zara di lantai. Semua ahli dorm ada di dalam bilik dan mereka ada mendengar Zara berkata demikian. Tidak ada ahli dorm yang cuba menenangkan atau memujuk Zara semasa Zara menangis di dorm.
“Ketika itu, lampu bilik dorm sudah tutup. Zara tidak menggunakan bantal ketika dia baring atas lantai. Zara baring di atas tangannya dan menghadap sebelah kiri bawah katil. Saksi berkata itu merupakan kali pertama dia melihat Zara menangis dan menjerit di dalam dorm,” kata Mohd Syarulnizam ketika berkongsi keterangan saksi kepada pemberita selepas prosiding.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa pada hari sama, berlaku kehilangan dompet di asrama yang mengundang tuduhan terhadap Zara Qairina.
Saksi itu memberitahu, empat rakan sebilik Zara Qairina melakukan pemeriksaan mengejut terhadap loker, beg dan seluar milik Zara Qairina, namun tiada barang hilang ditemui.
Saksi juga memaklumkan tiada guru atau warden terlibat dalam sebarang pemeriksaan atau ‘mesyuarat aras’ (MA) yang dijalankan pelajar senior di asrama.
Sementara itu, peguam Joan Goh yang mewakili seorang kanak-kanak dalam kes buli Zara Qairina, berkata saksi kanak-kanak ke-19 yang merupakan rakan sekelas mangsa menggambarkan Zara Qairina sebagai seorang pelajar yang ceria di dalam kelas.
Saksi turut memberitahu mahkamah bahawa Zara Qairina sering menulis di dalam diari berkulit hijau bertulis Love and Peace, namun dia sendiri tidak pernah membaca kandungannya.
Goh berkata saksi juga memberi keterangan bahawa dia pernah kehilangan pin bendera Malaysia yang disimpan pada beg sekolahnya pada 8 Julai.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, di Kota Kinabalu pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada empat pagi, 16 Julai.
Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung Khamis.
-Bernama