Greece bercadang melarang kanak-kanak bawah umur 15 tahun daripada mengakses media sosial pada masa hadapan, umum Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis di TikTok pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Katanya sebaik sahaja diluluskan parlimen, undang-undang baru itu akan berkuat kuasa pada 1 Jan 2027.
Mitsotakis mempunyai majoriti selesa di parlimen ketika ini, justeru menjadikan kelulusan rang undang-undang itu hampir pasti.
“Kami memutuskan untuk meneruskan sesuatu yang sukar tetapi perlu,” katanya.
Menurut Mitsotakis langkah itu bertujuan untuk melindungi golongan muda dengan lebih baik daripada kesan negatif platform digital.
Bercakap secara langsung kepada pengguna muda, Mitsotakis mengakui yang pelan itu mungkin mendapat tentangan.
“Saya pasti ramai dalam kalangan golongan muda akan marah kepada saya sekarang. Pada usia anda, saya mungkin merasakan perkara yang sama. Tetapi tugas kami bukan untuk menyenangkan hati,” katanya.
Tambahnya, jika media sosial menyebabkan seseorang berasa tertekan atau memandang rendah terhadap diri sendiri, maka wajar untuk had ditetapkan.
Mitsotakis turut mengkritik “struktur ketagihan” banyak platform, yang menurutnya perlu diubah.
“Kanak-kanak dan remaja sering tidak mempunyai ketahanan dalam menghadapi mekanisme platform ini, justeru negara mempunyai tanggungjawab khusus dalam perkara tersebut,” katanya.
Dia turut menyatakan harapan agar negara anggota Kesatuan Eropah (EU) lain akan mengikuti langkah Greece.
Dalam sepucuk surat kepada Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, Mitsotakis menyeru agar satu rangka kerja seragam diwujudkan menjelang akhir tahun ini, kerana langkah di peringkat negara sahaja tidak mencukupi.





