Pindaan Perlembagaan yang boleh memansuhkan kepentingan hak Melayu dan bumiputera di negara ini tidak mungkin boleh dilakukan sekalipun jika DAP mempunyai 148 kerusi di Parlimen, kata Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
Tegasnya, sebarang pindaan perlembagaan membabitkan kedudukan Islam dan Melayu, bumiputera - iaitu Perkara 3 dan 153 - perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.
Aysraf berkata demikian melalui wawancara Siri #2 Bongkar Fitnah Islam Terancam, yang dimuat naik di Facebooknya, hari ini.
Sejak membentuk pakatan kurang mesra selepas perseteruan politik berdekad-dekad, kedua-dua Umno dan DAP sering mendapati diri mereka berada dalam kedudukan mencabar untuk mewajarkan perkongsian mereka kepada penyokong masing-masing.
Kerjasama yang tidak pernah berlaku sebelum ini lahir berikutan keputusan pilihan raya yang berbelah bahagi pada pilihan raya umum 2022 yang menyaksikan tidak ada sebarang gabungan yang menikmati majoriti yang jelas.
Agenda negara sekular DAP dan slogan "Malaysian Malaysia" sering digunakan untuk mencetuskan ketakutan di kalangan pengundi Melayu-Islam - taktik yang digunakan Umno sendiri pada masa lalu.

Sebaliknya, DAP telah sekian lama menuduh Umno mempromosikan ketaksuban kaum dan agama, serta meningkatkan permusuhan antara kedua-dua parti.
"Apakah mungkin berlakunya pindaan Perlembagaan?” kata Asyraf melontarkan soalan retorik itu semasa temu bual tersebut.
“Tidak mungkin kerana hendak pinda perlembagaan mesti ada 148 (kerusi), DAP hanya ada 40. Mana mungkin untuk meminda perlembagaan,” katanya menjawab soalannya sendiri.
"Ini perkara asas yang harus kita faham supaya segala fitnah dan tohmahan, seolah-olah Umno hari ini akan menjual negara, perjuangan Islam dan bangsanya kepada orang lain, dihentikan," katanya lagi.
Mengimbas kembali pembentukan kerajaan perpaduan, Asyraf menekankan "pengorbanan" yang dilakukan oleh Umno dan BN demi hala tuju dan masa depan negara.

Dia memberi jaminan bahawa agenda Islam dan Melayu tidak akan sesekali ditinggalkan Umno dan BN, malah seperti diketahui, sebelum terbentuknya kerjasama melalui penubuhan kerajaan perpaduan, empat syarat utama membabitkan aspek itu sudah dimuktamadkan terlebih dahulu.
"Kita meletakkan syarat kepada parti yang mengadakan hubungan atau hendak bekerjasama dengan Umno dan BN iaitu antaranya Perkara 3 di dalam Perlembagaan tidak boleh sama sekali dipertikaikan.
"Begitu juga Perkara 153 yang menyebut soal kedudukan istimewa orang Melayu dan penduduk asal Bumiputera dan juga kedudukan serta keistimewaan Raja-Raja Melayu, pemelihara kepada Islam, Melayu dan bahasa Melayu.
"Ini empat perkara yang dimasukkan di dalam perjanjian yang akhirnya ditandatangani semua parti yang membentu kerajaan Perpaduan iaitu sebanyak 18 parti," katanya.
Mengenai momokan Umno melanggar dasar “No DAP! No Anwar!”, Asyraf Wajdi menegaskan kembali, ketetapan itu bukan sewenang-wenangnya diubah Presiden Umno, Zahid Hamidi, sebaliknya ia diputuskan melalui mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.

MKT Umno memutuskan untuk menyokong dan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong agar BN menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan.
September lalu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata parti itu tidak akan menggugurkan slogan “Malaysian Malaysia” untuk meraih sokongan daripada kaum lain.
“DAP memberi komitmen untuk menyokong prinsip Islam sebagai agama rasmi persekutuan, menghormati kesucian bahasa Melayu, dan menjunjung Perkara 153 perlembagaan persekutuan dan presiden Umno berpuas hati dengan perkara ini.
“Ini sebelum BN menyertai Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan perpaduan,” katanya.