Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman tambahan 10 bulan penjara terhadap 33 lelaki yang sebelum ini hanya didenda atas pertuduhan menyertai rusuhan di sebuah pusat hiburan di Cheras awal bulan ini, yang turut membabitkan penggunaan senjata api dan bahan letupan.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin memerintahkan kesemua 31 tertuduh berusia antara 21 hingga 57 tahun serta dua lagi tertuduh berusia 19 tahun menjalani hukuman tambahan itu bermula hari ini.
Mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap terhadap A. Ganesan kerana gagal hadir pada prosiding hari ini.
Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datuk Mohd Nordin Ismail memohon agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap kesemua responden kerana denda yang dikenakan sebelum ini tidak mencerminkan keseriusan perbuatan mereka.
“Mereka menggunakan lori dan senjata ketika rusuhan. Saya percaya seluruh Malaysia menyaksikan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial. Insiden sebegini tidak sepatutnya berlaku di negara ini.
“Berhubung responden bawah umur, saya percaya hukuman yang sama boleh dijatuhkan kerana dia matang untuk menilai baik dan buruk. Sehubungan itu, saya memohon mahkamah menggunakan kuasa dan budi bicara di bawah Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah untuk menyemak semula hukuman yang lebih wajar,” katanya.
Sementara itu, peguam Damien Chan berhujah bahawa dalam insiden tersebut kesemua responden tidak mencederakan sesiapa, sebaliknya hanya menyebabkan kerosakan harta benda.
“Mereka juga mengaku bersalah di Mahkamah Majistret dan bersedia untuk membayar ganti rugi atas kerosakan tersebut,” katanya.
Pada 10 April lepas, Majistret Faezahnoor Hassan menjatuhkan hukuman denda RM3,000 kepada 32 tertuduh itu dan memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mereka ialah Tan Chee Chin, G. Bathmanathan, M. Kogilan, Lim Puay Fei, Kevin Yong Kai Wen, Ong Zhi Jian, Looi Khai Xuan, Voison Chor, Tan Jun Ning, Hee Tuck Choy, Ching Thong Hai, Kee Jin Xuan, Lim Teong Yow, Chan Kuang Man dan Ho Chee Seong.
Tertuduh lain ialah Wong Chee Siong, Liang Chung Weng, G Srikanth, A Ganesan, Lee Ming Choong, Wong Wai Khuen, Khor Ka Lok, Ong Zheng Yuan, Yam Hao Jie, Lim Jia Cheng, Chai Chun You, Kher Kuan Heng, Ong Aik Chim, Chong Khai Jun, Hadzrin Julasrin, Lee Tuck Wah dan Chin Chin Chung.
Dua lagi iaitu Alvin Yong Kai Zhe dan Chong Yu Heng, masing-masing berusia 19 tahun, dijatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara tiga bulan.
Kesemua lelaki itu didakwa menyertai rusuhan dan memiliki senjata api, peluru, bahan letupan, kayu dan batu yang boleh digunakan untuk menyerang dan menyebabkan melecur serta kecederaan di sebuah pusat karaoke di Cheras, dekat Kuala Lumpur pada 7.30 malam, 5 April lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata kejadian rusuhan itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara pesaing perniagaan serta dendam, dengan kumpulan berkenaan disyaki direkrut oleh sebuah kongsi gelap.
Beliau berkata kumpulan terbabit bertindak memecah masuk premis menggunakan lori dengan melanggar pagar sebelum merosakkan bahagian hadapan dan lobi premis menggunakan senjata seperti kayu besbol.





