WAWANCARA l Umno tidak akan melepaskan mana-mana kerusinya di Sabah ketika rundingan bersama PH dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berlangsung menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang dijangka diadakan sebelum hujung tahun ini.
Ketua Penerangan Umno Sabah, Suhaimi Nasir, berkata keadaan ketika ini menunjukkan BN tidak akan bertembung dengan PH, manakala PH juga tidak berdepan secara langsung dengan GRS.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak untuk menyerahkan kerusi yang telah kami menangi. Itu satu perkara.
“Kedua, itu bukan tradisi kami (untuk mengalah) – kerusi yang sepatutnya kami tandingi, kami akan tandingi. Tiada kompromi,” kata Ahli Parlimen Libaran itu dalam satu wawancara di Parlimen, merujuk kepada laporan mengenai “cinta tiga segi” antara tiga gabungan tersebut.
Daripada 73 kerusi DUN Sabah, BN Sabah memenangi 16 kerusi pada PRN lalu, sebelum bekerjasama dengan PN dan dan Parti Bersatu Sabah (PBS) bagi menentang Warisan Plus.
Sejak itu, landskap politik berubah – BN kini mempunyai tujuh Adun pembangkang, dua Adun lantikan, dan tiga Adun kerajaan, menjadikan jumlah keseluruhan 12 kerusi.

BN dan GRS menyatakan hasrat kekal bersama PH, namun hubungan kedua-dua gabungan itu tetap tegang sejak 2023 apabila Umno Sabah menarik balik sokongan terhadap kerajaan Ketua Menteri Hajiji Noor.
Suhaimi berkata calon-calon Umno Sabah – yang dijangka terdiri sehingga 70 peratus muka baru – tidak akan diletakkan di mana-mana kerusi yang dimenangi PH.
“Tiada pertembungan dengan PH, tetapi akan bertembung dengan semua calon GRS. Perkara ini pasti berlaku.
“Bergantung berapa banyak kerusi yang GRS akan tandingi. Kalau 40 kerusi, maka akan bertembung di semua. Tetapi tiada dengan PH,” katanya.
‘Peruntukan’ kerusi untuk PH
Mengulas lanjut, Ketua bahagian Umno Libaran itu berkata BN Sabah telah “memperuntukkan” beberapa kerusi untuk PH, yang kemudiannya perlu “diselesaikan” dengan GRS bagi mengelak pertandingan tiga penjuru.

Merujuk kepada kawasan Parlimen Libaran sebagai contoh, dia berkata: “Libaran ada tiga kerusi DUN. Kita mungkin beri kerusi Gum-Gum kepada PH.
“Dua kerusi lain (untuk BN) ialah Sungai Sibuga dan Sungai Manila. Tetapi GRS mungkin juga mahu semua tiga, jadi kita boleh berentap,” katanya.
Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH< Anwar Ibrahim, awal bulan ini berkata keutamaan dalam rundingan adalah untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru yang boleh memecah undi blok kerajaan dan mengelirukan pengundi Sabah.
Warisan boleh raih manfaat
Suhaimi mengakui sebarang pergeseran antara sekutu kerajaan boleh menghakis kepercayaan rakyat, sekali gus memberi kelebihan persepsi kepada pembangkang negeri, Warisan – yang telah mengisytiharkan hasrat untuk bertanding di semua 73 kerusi.
“Sekarang ini, kalau kita lihat, kelebihan ada pada mereka.
“Mungkin rakyat percaya mereka kerana konsisten. Rakyat melihat dari sudut itu,” katanya.
Walaupun beberapa isu besar melanda, termasuk skandal rasuah Sabah dan kematian remaja 13 tahun, Zara Qairina Mahathir, Suhaimi tetap yakin BN mempunyai rekod yang membolehkannya mendominasi PRN.
“Saya yakin BN akan mendominasi PRN kali ini kerana rakyat sekarang tahu membuat perbandingan.
“Parti tempatan pernah memerintah sebelum ini – PBS, Berjaya, Usno, misalnya. Kemudian BN memerintah selama bertahun-tahun, dan rakyat lihat bagaimana BN melaksanakan pembangunan.
“Warisan juga pernah memerintah. Apa yang berlaku semasa pentadbiran mereka? Banyak perkara berlaku, dan kesannya masih terasa hingga kini.
“GRS juga pernah memerintah – apa yang berlaku? Mereka lebih banyak fokus pada majlis pecah tanah, tetapi rasuah berleluasa. Jadi rakyat sedang menilai.
“Nampaknya sekarang ini kelebihan ada pada Warisan kerana perbandingan ini. Rakyat membandingkan rekod kerajaan-kerajaan yang ada,” tambahnya.
Sabtu lalu, Presiden Warisan Shafie Apdal mempertahankan keputusan parti itu bertanding di semua kerusi kerana kerjasama dengan parti pusat membawa campur tangan politik.
Bekas ketua menteri Sabah itu juga menolak pembahagian kerusi dengan blok parti persekutuan dengan mengatakan perkara itu sebelum ini tidak menyelesaikan isu utama Sabah.





