25.3 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 26, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Belum ada rancangan wartakan kampung di S’gor tapak warisan – exco

    Shopee Sale

    Walaupun cadangan supaya kampung baru Cina diiktiraf sebagai tapak warisan dunia Unesco hangat diperkatakan, seorang exco kerajaan negeri Selangor berkata kerajaan negeri tidak mempunyai rancangan sedemikian untuk mana-mana kampung tradisinya pada masa ini.

    Malay Mail melaporkan pengerusi jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perpaduan dan Pengguna Selangor Rizam Ismail berkata kerajaan negeri terbuka kepada cadangan jika ada kampung yang dianggap layak memohon pengiktirafan itu.

    “Setakat ini, kerajaan tidak bercadang untuk mewartakan mana-mana kampung tradisional sebagai tapak warisan dan mendapat pengiktirafan Unesco.

    “Bagaimanapun, pada masa akan datang, kerajaan negeri terbuka kepada permintaan dan cadangan serta akan menelitinya sebelum mendapatkan maklum balas daripada jabatan dan agensi berkaitan jika ada mana-mana kampung tradisi itu dilihat layak dan sesuai untuk memohon pengiktirafan itu,” katanya. seperti dipetik oleh portal tersebut.

    Rizam berkata demikian pada sesi soal jawab persidangan DUN Selangor hari ini.

    Sebelum ini, media melaporkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata rancangan sedang dirangka untuk mencalonkan kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan itu.

    Ini membawa kepada kritikan daripada beberapa pemimpin politik seperti Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh.

    Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) berusaha untuk menggalakkan pengenalpastian, perlindungan, dan pemeliharaan warisan budaya dan semula jadi di seluruh dunia yang dianggap mempunyai nilai yang luar biasa kepada manusia.

    Penyertaan Malaysia dalam Senarai Warisan Dunia ialah Taman Negara Gunung Mulu, Taman Kinabalu, bandar bersejarah Melaka dan George Town, dan warisan arkeologi Lembah Lenggong.

    MENARIK:  Sultan Pahang tinjau lokasi pencerobohan tanah di Raub

    Sementara itu, dalam soalan tambahan di DUN, ketua pembangkang Selangor Azmin Ali meminta Rizam menjelaskan cadangan Nga kerana dia percaya idea itu bertentangan dengan kepentingan dan perpaduan negara, dan ditolak oleh Umno, parti yang dianggotai Rizam.

    Rizam yang juga Adun Sungai Tawar cuba memperkecilkan isu itu dengan berkata ia hanyalah cadangan dan masih belum dilaksanakan.

    Walaupun Nga berkata bahawa dia mengalu-alukan cadangan daripada mana-mana pihak untuk mencalonkan mana-mana kampung Melayu atau lokasi lain yang berpotensi diiktiraf oleh Unesco, dia terus mendapat kritikan.

    Presiden Gerakan Dominic Lau menyifatkan isu itu sebagai satu lagi kelemahan komunikasi oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.

    Lau menegur Nga dan berkata cadangan itu perlu dilengkapkan dengan penjelasan menyeluruh dan menghormati pandangan semua pihak berkepentingan, khususnya orang Melayu dan Cina.

    Bagaimanapun, pensyarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Faisal Tehrani menyokong cadangan Nga dan berkata mengiktiraf kampung baharu Cina terpilih akan mengekalkan sejarah kawasan itu turun-temurun.

    Faisal memberitahu Malaysiakini bahawa selepas 80 tahun, kampung itu perlu diiktiraf sebagai sebahagian daripada sejarah Cina Malaysia dan langkah itu tidak mengancam hak bumiputera.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah