Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang dipilih sebagai wakil rakyat baru DUN Nenggiri berjanji akan berkhidmat kepada kesemua masyarakat tanpa mengira kecenderungan politik.
Adun BN itu berkata dia akan menggalas tugas barunya dengan penuh tanggungjawab.
"Bermula saat ini saya akan mewakili seluruh rakyat Nenggiri dan berikrar akan berkhidmat kepada mereka semua tanpa mengira warna politik.
“Tanggungjawab ini akan saya galas sebaik mungkin dan kemenangan besar malam ini juga tanpa saya duga,” katanya pada sidang media di Gua Musang, malam ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub.
Mohd Azmawi diumum sebagai wakil rakyat baru bagi kerusi DUN Neggiri apabila memperoleh kemenangan dengan majoriti 3,352.
Dia menewaskan calon PN yang memakai logo PAS, Mohd Rizwadi Ismail sekali gus merampas kembali kerusi DUN Nenggiri.
Kemenangan Mohd Azmawi atau mesra disapa Awie diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN Nenggiri, Nik Raisnan Daud.
Awie secara rasmi meraih 9,091 undi menewaskan pencabarnya Mohd Rizwadi ataupun Ustaz Wadi yang mendapat 5,739 undi.





