Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nangka, Sarawak Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah hari ini dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-21.
Pelantikannya adalah bagi menggantikan Datuk Mutang Tagal yang meninggal dunia pada 10 Mei lepas.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan nama Awang Bemee, yang juga calon tunggal sebagai cadangan nama ahli untuk dipilih pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini.

"Beliau yang merupakan anak jati negeri Sarawak, pernah berkhidmat di Mahkamah Tinggi Borneo Sarawak bermula pada tahun 1984 dan berpengalaman mengendalikan pelbagai kes di semua peringkat mahkamah termasuk Mahkamah Persekutuan.
Beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching sejak 1998 dan pernah berkhidmat sebagai ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak selama tiga penggal. Sesungguhnya beliau mempunyai pengalaman yang amat luas dan mengikut Peraturan Mesyuarat 2(1), saya telah memastikan bahawa beliau bersetuju untuk berkhidmat, jika dipilih," katanya.
Cadangan itu disokong oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Pada 15 Julai lepas Awang Bemee mengangkat sumpah sebagai Senator di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Nur Jazlan Mohamed, atas perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh hingga 14 Julai 2027.
Beliau menjadi Adun Nangka selama tiga penggal bermula 1996 hingga 2011, selain pernah memegang jawatan Setiausaha Agung Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.

Penasihat Undang-undang PBB dan Pegawai Awam Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu juga kini memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuching dan Pengarah Sarawak Plantation Berhad.
Beliau juga merupakan pengamal undang-undang berpengalaman mengendali kes sivil dan jenayah di semua mahkamah hingga Mahkamah Persekutuan, sejak mula diterima sebagai peguam bela dan peguam cara oleh Mahkamah Tinggi Borneo pada 1984.





