Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dipilih sebagai 'poster boy' PH pada pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu dan bukan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda berkata Amiruddin dipilih kerana dia berkhidmat lebih lama sebagai menteri besar berbanding Anwar sebagai perdana menteri.
"Pada ketika ini, rakyat telah terbiasa dengan program yang dianjurkan oleh kerajaan Selangor sejak beberapa tahun lalu," katanya.
Hasbie dalam pada itu mengakui usaha mempertahankan kerusi DUN itu merupakan tugas sukar selain berdepan cabaran meraih undi Melayu.
Kuala Kubu Bharu merupakan kerusi campuran dengan pecahan pengundi Melayu sebanyak 46 peratus, Cina (30 peratus) dan India (18 peratus) dan lain-lain (6 peratus).
Hasbi berkata kadar keluar mengundi disasarkan sebanyak 80 peratus hingga 85 peratus dan dia juga yakin lebih ramai pengundi akan keluar mengundi berbanding pilihan raya negeri Melaka dan Johor.
Peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya negeri Melaka pada 2021 ialah 65.85 peratus, manakala pilihan raya Johor pada 2022 mencatatkan kadar keluar mengundi sebanyak 54.92 peratus.

Hasbie berharap pengundi luar akan pulang mengundi, terutamanya mereka yang tinggal di Lembah Klang.
Ketua Pemuda Amanah itu turut menasihati pengundi bukan Melayu yang keberatan mengundi pada pilihan raya kecil tersebut.
“Jika kita kalah, Perikatan Nasional akan menggunakan ini sebagai peluru untuk terus memainkan isu menukar kerajaan dan mewujudkan ketidakstabilan.
"Ia akan membebankan rakyat, ini yang kita mahu cegah," tambahnya.
Hasbie menegaskan keputusan PRK ini penting bagi menamatkan politik identiti yang dimainkan oleh pembangkang.
"Pakatan Harapan tidak menawarkan bulan dan bintang atau formula ajaib untuk mengubah negara dalam sekelip mata. Namun, apa yang penting kita tidak akan sesekali membenarkan politik identiti, politik yang memecahbelahkan rakyat," tegasnya.
Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil membayangkan Anwar tidak akan turun pada kempen PRK ini.
Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!





