Sikap Dr Akmal Saleh terhadap isu yang melanda Umno kini dilihat sekadar rajuk seorang anak terhadap bapa yang enggan memberi coklat yang diminta.
Demikian kata seorang pemimpin akar umbi Umno ketika ditanya berhubung tindakan terkini ketua Pemuda Umno itu yang menyatakan hasrat kemungkinan "mengundur diri".
Enggan namanya disiarkan menurutnya, exco kerajaan Melaka itu cuma merajuk apabila Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membuat pengumuman bahawa Umno akan kekal bersama kerajaan perpaduan hingga tamat penggal ini.

"Akmal cuma merajuk... usul dikemukakan Pemuda Umno dibincang dalam mesyuarat biro politik (Umno) dengan harmoni tiada masalah. Mungkin dia merajuk apabila presiden membuat pengumuman bahawa Umno tak mahu tebuk atap, tak mahu dipatuk dua kali ditempat sama.
"Bagi saya ini anak merajuk dengan bapa, anak minta coklat bapa tak bagi ada sebabnya," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Sabtu lalu, Pemuda Umno mengadakan konvensyen khas dan Akmal kemudian menggesa Umno keluar daripada kerajaan dan bergabung dengan PAS sebagai pembangkang.
Zahid kemudiannya mengesahkan bahawa partinya bersama BN akan terus kekal dalam kerajaan perpaduan dengan PH sehingga tamat penggal kali ini.
Katanya, ia antara perkara yang dibincangkan pada mesyuarat biro politik Umno Isnin lalu.

Ketika diminta mengulas mengenai desakan supaya Umno dan PAS menghidupkan semula kerjasama di bawah Muafakat Nasional (MN), Zahid berkata, partinya tidak mahu dikhianati oleh pihak yang sama dan tidak mahu episod tersebut berulang.
"Kita tidak mahu bernostalgia menggunakan apa-apa nama yang pernah dicadangkan dahulu dan kita belum memutamadkannya lagi.
"Kita tidak mahu dipatuk oleh ular yang sama bagi kali yang kedua di tempat yang sama,” katanya lagi.
Seorang sumber dari Pemuda Umno pula berpendapat, Akmal hanya merajuk manja dan berpegang kepada pendiriannya sahaja.
"Dr Akmal lebih kepada mempertahankan pendirian dia dan usul Pemuda Umno.

“Saya akui kita dimaklumkan biro politik bincang usul dikemukakan Pemuda Umno," katanya.





