Pelakon, Siti Saleha mengakui buat masa ini dia memilih untuk memperlahankan langkah dalam dunia lakonan demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak sulungnya, Indra Mateen Fitton yang kini sedang melalui fasa awal pembesaran.
Artikel Berkaitan: Siti Saleha Dedah Wajah Anak, Netizen Puji – ‘Comelnya, Macam Anak Mat Salleh’
Artikel Berkaitan: Siti Saleha Selamat Timang Cahaya Mata Sulung Lelaki- ‘Hello, Nama Saya Indra’
Pengalaman jadi ibu

Siti Saleha, 36, berkata, pengalaman bergelar ibu buat kali pertama membuatkan dia tidak mahu terlepas setiap detik berharga membesarkan cahaya mata, termasuk sepanjang tempoh penyusuan.
Saya pertama kali jadi ibu. Kena fikir kalau nak mula penggambaran kena berhenti menyusu. Tawaran memang ada tapi saya tak nak terlepas perkembangan anak. Setiap hari berbeza, saya nak ada di situ untuk anak.
Saya seronok jadi ibu. Memang sangat berbeza tapi ada susah dan senang dalam masa sama. Kalau tak dia dengan pengasuh dan suami saya. Saya tak akan biarkan, nanti perkataan pertama dia ‘daddy’, tidak.
Siti Saleha berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Siri Travelog Hotlink: Geng Bijak Berbajet, yang berlangsung di Balai Berita Bangsar, Media Prima Berhad, baru-baru ini.
Bercerita lanjut, pelakon yang popular menerusi drama 7 Hari Mencintaiku itu bagaimanapun tidak menutup pintu untuk kembali aktif di set penggambaran sekiranya menerima naskhah yang menepati citarasanya.
Kalau boleh nak ‘hold on’ dulu tapi terpulang juga, sekarang rasa macam nak mula penggambaran balik. Macam ada drama menarik, mungkin mula berlakon balik. Saya dah ada perasaan begitu, dalam beberapa bulan lagi ke, tengoklah.
Dalam pada itu, Siti Saleha turut berkongsi perkembangan terkini anak lelakinya yang disifatkan sebagai seorang bayi yang tenang dan tidak banyak ragam, sekali gus memudahkan urusan hariannya sebagai ibu.
Semua nak masuk mulut sekarang. Dia dah boleh minum daripada penyedut minuman dan mula makan. Dia banyak membebel, bercakap dan saya rasa dia dah mula bangun serta guna kaki.
Saya rasa mungkin dia akan berjalan sebelum merangkak. Anak saya sangat tenang, kalau saya pergi kerja dia tak menangis. Tak cerewet sangat.
Untuk rekod, Siti Saleha selamat melahirkan anak sulungnya pada 3 Januari lalu sebelum berkongsi wajah Indra Mateen Fitton kepada umum pada Februari.
Terdahulu, aktres berusia 36 tahun itu mendirikan rumah tangga bersama pereka fesyen, Joshua Fitton, pada 15 Februari 2025.
Dalam perkembangan lain, Siti Saleha merupakan salah seorang artis undangan dalam siri Travelog Hotlink: Geng Bijak Berbajet yang dihoskan oleh Kamal Adli dan akan menemui penonton pada 29 Julai di TV3.
The post Siti Saleha Seronok Jadi Ibu, Rehat Berlakon Untuk Fokus Besarkan Anak first appeared on OHBULAN!.





