Kehangatan malam Jumaat di Zepp Kuala Lumpur memuncak apabila penyanyi Indonesia, Ghea Indrawari melabuhkan tirai konsert sulungnya, Rasi Jiwa dengan penuh memori.
Artikel Berkaitan: Tebus Kecewa Buat Peminat! Konsert Wali Band Kembali Lebih ‘Power’, Penuh Air Mata & Jiwa
Malam yang hangat

Dihujani sorakan tanpa henti, konsert solo istimewa ini ternyata meninggalkan kesan mendalam buat para peminatnya di Malaysia.
Tampil buat pertama kali dengan konsert penuh di sini, Ghea membuktikan dia bukan sekadar ratu penstriman, tetapi seorang penghibur sejati yang mampu menghidupkan setiap lirik lewat emosi yang jujur.
Dengan kehadiran seramai 1,200 penonton, Ghea membuktikan muzik bukan saja perlu didengari, malah harus dirasai hingga ke lubuk hati menerusi kejujuran sebuah persembahan.
Malam anjuran Semangat Zaman Music & Entertainment itu bukan sekadar sebuah persembahan muzik, malah ia menjelma sebagai satu persinggahan emosi yang membawa penonton menyelami refleksi kehidupan.
Tirai persembahan dibuka indah dengan naskhah ‘Rasa Cinta Ini’, yang serta-merta membuai emosi penonton sebelum Ghea terus memukau ruang Zepp KL dengan deretan hits seperti ‘Malaikat’ dan ‘Bucketlist’.
Detik paling magis malam itu adalah ketika Ghea meluahkan isi hatinya melalui sepucuk surat buat ‘Ghea kecil’. Setiap bait kata kedengaran begitu telus dan jernih sebelum disulami dengan dendangan sayu lagu ‘Masa Mudaku Habis’ dan ‘Berdamai’.
Malam itu turut diserikan dengan kejutan istimewa menerusi tayangan eksklusif lagu baharu berjudul ‘Daun Daun’.
Biarpun sekadar tayangan video dan tidak dipersembahkan secara langsung, naskhah tersebut nyata memiliki daya penarik tersendiri apabila seluruh dewan terpaku dan memberikan tumpuan sepenuhnya.
Kemuncak sebenar konsert tentunya hadir ketika intro “Teramini” dan “Jiwa Yang Bersedih” mula dimainkan.
Konsert akhirnya melabuhkan tirai dengan lagu tersebut selepas hampir dua jam persembahan berlangsung, meninggalkan dewan dengan sorakan panjang dan senyuman puas daripada para peminat.
The post Ghea Indrawari Cipta Memori Indah Buat 1,200 Peminat Di Malaysia first appeared on OHBULAN!.





