ULASAN SUKAN | Malaysia nampaknya memang pakar dalam seni jalan pintas. Kalau dulu kita mencari ‘kegemilangan’ dalam pembangunan dan ekonomi tetapi termalu dengan 1MDB, kini bola sepak pula yang mengambil giliran.
Dokumen palsu, denda berjuta, tujuh pemain digantung – itu bukan tajuk utama tabloid luar negara, tapi kenyataan pahit dan mengaibkan bola sepak Malaysia hari ini.
Apa yang disangka revolusi Harimau Malaya rupa-rupanya hanya topeng yang retak di hadapan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), mendedahkan betapa rapuhnya integriti kita.
Beberapa bulan lalu aku menulis tentang Harimau Diaspora - naratif penuh idealisme bagaimana pemain warisan mampu menyatukan identiti bangsa dengan wawasan bola sepak negara.
Aku yakin darah campuran Malaysia di luar negara boleh jadi jambatan emas untuk memperkukuh Harimau Malaya. Tapi hari ini, naratif itu terhempas ke bumi dan berkecai.
Fifa baru sahaja mengumumkan keputusan yang mengejutkan: tujuh pemain warisan Malaysia digantung selama 12 bulan kerana penggunaan dokumen palsu dalam proses pendaftaran antarabangsa.
Pemain yang sebelum ini menjadi sandaran skuad kebangsaan kini tidak boleh lagi menyarung jersi negara. Lebih parah, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut dikenakan denda sebanyak CHF350,000 atau kira-kira RM1.8 juta.
Jadi beban reputasi
Hukuman itu bukan kecil, malah menjadi tamparan besar kepada organisasi yang sudah sedia bergelut dengan isu kewangan dan pengurusan. Rayuan memang sedang disusun, tetapi peluang untuk mengubah keputusan nampak tipis.
Dunia sudah membaca Malaysia sebagai negara yang cuba menipu sistem. Di mana kita nak letakkan muka kita? Aib, mat!
Hukuman yang diumumkan setakat ini hanya menyentuh tujuh pemain. Namun aku percaya gelombang badai sebenar belum berakhir. Fifa dan juga AFC tidak akan berhenti setakat itu sahaja.
Sejarah membuktikan, apabila skandal sebegini terbongkar, siri hukuman susulan akan menyusul - sama ada kepada pegawai teknikal, pentadbir bola sepak, malah keseluruhan persatuan.
Jika itu berlaku, maruah bola sepak Malaysia akan tercalar lebih dalam, dan kita mungkin berdepan risiko digantung daripada sebarang kejohanan antarabangsa.
Dulu, pemain warisan dianggap sebagai “dewa penyelamat”. Mereka datang dengan pengalaman, DNA bola sepak Eropah atau Amerika Selatan, lalu digabungkan dengan semangat kebangsaan Malaysia.
Aku sendiri percaya itulah jalan terpantas untuk melonjakkan kedudukan kita di pentas Asia.
Namun realitinya, sebahagian daripada mereka kini menjadi beban reputasi. Daripada penyelamat berubah kepada punca krisis; daripada sumber kebanggaan kepada bahan ketawa dunia.
Soalan besar pun muncul: apakah projek pemain warisan ini benar-benar telus, atau sekadar jalan pintas untuk menutup kelemahan pembangunan akar umbi kita?
Sama seperti 1MDB – bermula dengan impian besar, tetapi runtuh kerana integriti yang rapuh.

Di tengah kekalutan ini, muncul satu naratif yang aku tidak boleh ketepikan: ada bayang kuasa yang bergerak di balik tirai.
Aku tidak mahu menuding jari sembarangan, tetapi persoalan tentang siapa yang menolak tarikh, meluluskan tandatangan dan melicinkan jalan pintas ini tidak boleh dibiarkan tanpa jawapan.
Ramai mula bercakap tentang “tangan ghaib”. Siapakah sosok berpengaruh yang walaupun tidak berjawatan rasmi, tapi memiliki kuasa mempengaruhi haluan? Selagi persoalan ini tidak dijawab dengan telus, selagi itulah desas-desus akan terus menenggelamkan kebenaran.
Tidak hairanlah kalau masyarakat semakin skeptikal di mana-mana. Kalau dulu nama sosok ini diangkat dan dipuja, kini ramai yang berasa tertipu. Harapan yang sepatutnya membawa Malaysia ke hadapan kini jadi simbol kegagalan tadbir urus.
Malaysia akan terus dilihat sebagai negara yang bukan sahaja gagal mengurus bola sepak, tetapi juga takut berterus terang tentang siapa sebenarnya berkuasa di balik keputusan badan pengurusan bola sepak kita.
Kedudukan kian rapuh
Hukuman dijatuhkan Fifa bukan sekadar menimpa tujuh individu, tetapi seluruh ekosistem bola sepak Malaysia.
Pertama, imej negara dan FAM jatuh merudum. Kalau sebelum ini kita sibuk bercerita tentang “kebangkitan Malaysia”, sekarang dunia nampak kita sebagai contoh kegagalan tadbir urus.
Sama seperti 1MDB yang menjadikan kita bahan jenaka media Barat, isu ini sekali lagi memalukan nama Malaysia.
Kedua, pemain tempatan yang sebelum ini terpinggir kerana terlalu bergantung kepada pemain warisan kini terpaksa menggalas tanggungjawab lebih besar.
Cuma, mungkin inilah peluang mereka untuk membuktikan kemampuan sebenar - tanpa bersaing dengan pemain yang statusnya meragukan.
Ketiga, kedudukan kita di pentas antarabangsa semakin rapuh. Dengan skuad pincang, reputasi hancur, dan keyakinan AFC serta Fifa FIFA terhakis, laluan ke Piala Asia atau Piala Dunia hanya tinggal mimpi.

Sama seperti 1MDB yang menyebabkan pelabur luar lari kerana hilang percaya, bola sepak Malaysia kini berisiko dipinggirkan kerana kredibiliti tercemar.
Masalah sebenar bukan semata-mata pada pemain, tetapi pada sistem. Kelemahan pengesahan dokumen menjadi bukti jelas FAM masih belum serius tentang integriti. Ghairah mahu segera berjaya sehingga mendorong mereka memilih jalan pintas, walaupun dengan risiko besar.
Bukankah ini pola yang sama dengan 1MDB? Ia juga bermula dengan visi besar - mahu menjadikan Malaysia pemain global dalam kewangan.
Namun, jalan pintas, manipulasi dan ketamakan akhirnya menjadikan kita bahan jenaka antarabangsa. Kini bola sepak mengulangi sejarah yang sama: impian gah tetapi asasnya rapuh.
Kesilapan tak boleh diulang
Suka atau tidak, inilah wajah sebenar tadbir urus Malaysia - tidak kira dalam politik, ekonomi atau sukan. Kita terlalu mudah terpesona dengan slogan dan projek besar, tetapi lupa membina asas integriti.
Kita terlalu ghairah mengejar jalan pintas menuju kejayaan sehingga lupa bahawa kemenangan sejati hanya lahir daripada kerja keras, sistem yang telus dan kesabaran membina dari akar umbi.
Kita perlu kembali kepada idealisme asal: pemain warisan sepatutnya menjadi jambatan, bukan lubang gelap. Mereka sepatutnya memperkukuh pasukan, bukan memusnahkan keyakinan.
Selepas semua ini, kita mesti berani mengaku: masalahnya bukan pada darah warisan, tetapi pada mereka yang menguruskan projek ini dengan cuai dan penuh nafsu jalan pintas.
Kalau Malaysia benar-benar mahu bangkit, kita tidak boleh mengulang kesilapan 1MDB dalam bola sepak.
Kita mesti membina semula dengan jujur, walaupun pahit. Kita perlu kembali kepada prinsip bahawa integriti lebih penting daripada kemenangan segera.
Projek pemain warisan tidak salah. Yang salah ialah para pengkhianat yang lupa bahawa kejujuran itu asas kemenangan. Malaysia pernah malu dengan 1MDB, hari ini bola sepak kita ditelanjangkan dengan cara sama.
NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.