Kedutaan Iran di Kuala Lumpur merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas solidariti yang dipamerkan susulan konflik yang tercetus di negara itu sejak 28 Feb.
“Kami tidak pernah menginginkan peperanangan... Kepada saudara saudari kami di Malaysia: terima kasih kerana berdiri teguh bersama kami,” menurut hantaran kedutaan itu di platform X pada Rabu.
Hantaran berkenaan turut memaparkan video yang menampilkan bendera Iran dan Jalur Gemilang, beserta tulisan dalam Bahasa Melayu: “Terima kasih Malaysia. Solidariti anda kekuatan kami.”
Video berdurasi lebih seminit itu memaparkan visual peperanangan di Iran, dengan menyatakan lebih 2,000 nyawa terkorban kebanyakannya orang awam, serta 214 kanak-kanak yang kehilangan masa depan sebelum sempat mengecap kehidupan.
Sebanyak 600 sekolah dan 295 pusat perubatan turut disasarkan, menjadikan tempat pembelajaran dan rawatan berubah menjadi runtuhan, menurut kandungan video itu.
“Sehingga keadilan ditegakkan, sehingga penyerang bertanggungjawab, kami (Iran) kekal bersatu, tabah dan kekal berharap. Kerana pada akhirnya, kebenaran akan menang dan keadilan akan ditegakkan semula,” menurut video itu.
Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran sejak 28 Feb, yang mendorong Iran bertindak balas dengan menyasarkan aset kepentingan AS di negara Teluk.
Konflik berterusan itu menyebabkan Iran mengehadkan penggunaan Selat Hormuz, laluan utama bahan api di Asia kepada kapal dari negara yang tidak bermusuhan termasuk Malaysia.
Pada Selasa, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengesahkan bahawa kapal Malaysia yang melalui Selat Hormuz di tengah konflik serantau tidak akan dikenakan sebarang caj tol.





