PARLIMEN l Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berhubung krisis Gaza adalah langkah perlu selepas mengadakan perbincangan dengan pelbagai pemimpin dunia lain.
Dia sehubungan itu, menepis dakwaan bahawa tindakan berkenaan menjadikan Kuala Lumpur sebagai boneka kepada Washington.

Mengaitkan kritikan itu dengan perjanjian dagangan yang baru dimeterai, Anwar menegaskan bahawa Malaysia bukannya tunduk kepada AS, sambil menambah bahawa dia secara konsisten menyuarakan sokongan terhadap hak rakyat Palestin, termasuk di hadapan Trump sendiri.
“Tak ada dengar satu (kritikan) yang baik, kutuk saja, dengan prasangka begitu ini jadinya.
“Perjanjian menyerah, menggadai, jadi penjajahan baru, tak ada...
“Tapi bayangkan kita nak kena hadapi Presiden AS, kalau nak minta bantuan penyelesaian menyeluruh Gaza,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

“Saya tak tahu siapa lagi dah, kita cakap dengan (Presiden Perancis) Emmanuel Macron, (Perdana Menteri Itali) Giorgia Meloni, Canselor Jerman, habis dah ikthiar...
“Saya tak minta terima kasih, tapi jangan kutuk seolah-olah kita u boneka AS, mana mungkin boleh cakap depan presiden sebegitu rupa…,” katanya.
Anwar turut mengingatkan bahawa dia sebelum ini juga pernah bersuara lantang mengenai pembunuhan rakyat Palestin oleh rejim Israel di hadapan Presiden AS ketika itu, Joe Biden, pada Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 2023 di San Francisco.

Perdana menteri berkata demikian dalam satu rayuan penuh emosi agar wakil kerajaan dan pembangkang memahami bahawa perjanjian dan hubungan luar negara yang dijalinkan adalah demi kepentingan negara.
Berdepan kritikan terhadap kandungan perjanjian dagangan dengan AS serta sambutan mesra terhadap Trump, Anwar menegaskan bahawa segala usahanya adalah untuk mengangkat nama dan kedudukan Malaysia di mata dunia.
“Saya rayu rakan-rakan sebelah sini (penyokong kerajaan). sebelah sana (pembangkang), ini soal negara, saya bukan muda.
“Saya kerja sedaya upaya saya untuk dapat perhatian negara-negara yang penting untuk faedah dan masa depan negara kita,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perjanjian dagangan tersebut, Anwar menegaskan dia tidak akan memohon maaf kerana menandatanganinya, dengan alasan Malaysia memerlukan pelaburan dan hubungan dagangan kukuh dengan Amerika Syarikat.
“Perjanjian perdangang semua ada exit clause. Kenapa kita tandatangani juga? Sebab kita perlukan pelaburan dan perdangan tinggi dengan AS, itu saya tak mahu apologetik.
“Tetapi soal menyerah tidak timbul, begitu juga dengan China, nampak baik kita diserang, nak baik dengan negara mana? Kelantan, Kedah sahaja? Tapi kena dengan semua,” selorohnya.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang), yang sekali lagi menuduh perjanjian tersebut sebagai “perjanjian syaitan” kerana didakwa mempunyai klausa yang boleh merugikan Malaysia.

Perjanjian itu mengekalkan kadar tarif timbal balik Malaysia pada 19 peratus, di samping mengekalkan pengecualian cukai bagi beberapa produk utama termasuk semikonduktor dan komponen elektronik.
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa dijadual bersidang pada 12 November untuk meneliti kandungan perjanjian berkenaan.





