Penyandang Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mengimbau larangan dikenakan terhadapnya daripada memasuki negeri Sarawak ketika kempen pilihan raya negeri (PRN) 2016.
Katanya dia yang sangat teringin berkempen di negeri itu akhirnya dibenarkan masuk selama sehari selepas berjanji hanya akan berkempen mengutuk bekas perdana menteri Najib Razak.
"Masa PRN 2016 saya dibenarkan masuk hanya sehari sahaja, masa tu arwah Adenan Satem (ketua menteri), saya tak boleh masuk (Sarawak) tapi saya nak juga datang, nak juga kempen kat sini (Sarawak) macam mana nak buat?
"Saya pun tweet masa tu saya kata: Datuk Seri saya berjanji jika saya masuk Sarawak jika dibenarkan hanya akan kutuk Najib (masa kempen).
"Dia (Adenan) baca dia gelak...jadi pegawai dia cakap CM (ketua menteri) gelak bila YB cakap macam tu, oklah dia bagi masuk satu hari sahaja, 24 jam," kata Rafizi dalam siri jelajah Hiruk di Sarawak, malam tadi.
Rafizi yang juga menteri ekonomi tidak menolak kemungkinan dia akan kembali dilarang memasuki Sarawak apabila sudah tidak berjawatan lagi dalam kerajaan dan parti.
"Saya hanya dibenarkan masuk ke Sarawak selepas dilantik sebagai menteri, dua tahun lalu.
"Kalau saya tidak jadi menteri dan timbalan presiden PKR lagi, saya rasa saya tidak dibenarkan masuk ke Sarawak lagi," katanya.