Bekas setiausaha politik kepada pengerusi PN, Muhyiddin Yassin mendedahkan satu surat yang didakwanya membuktikan PN telah menawarkan jawatan timbalan perdana menteri (TPM) kepada BN semasa rundingan pembentukan kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Marzuki Mohamad, yang berkhidmat sebagai setiausaha politik Muhyiddin ketika dia menjawat jawatan perdana menteri kelapan berkata surat itu menafikan dakwaan bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, yang mendakwa PN tidak membuat sebarang tawaran kepada BN dan meremehkan BN sepanjang rundingan selepas pilihan raya.
Menurut Marzuki, dalam surat itu PN bukan sahaja menawarkan jawatan TPM malah bersedia untuk memperuntukkan jawatan kabinet dan jawatan-jawatan kerajaan lain yang diperlukan.
“Saya menonton satu video podcast YB Rafizi Ramli yang mendakwa Perikatan Nasional tidak mengemukakan apa-apa tawaran kepada Barisan Nasional dalam rundingan pembentukan kerajaan selepas PRU15.

"Malah beliau mendakwa Tan Sri Muhyiddin memandang rendah kepada Umno.
“Sedangkan beliau yang menjadi orang penting dalam rundingan PH-BN menyediakan dokumen tawaran yang amat menarik kepada BN.
"Kerana itulah BN memilih untuk bekerjasama dengan PH. Beliau kata beliau ada kaki dalam rundingan PN-BN di Hotel St Regis pada 23 November 2022.
“Saya tak tahu lah betul atau tidak dia ada kaki.
"Saudara Rafizi, you are telling lies (kamu berbohong),” kata Marzuki menerusi satu hantaran di Facebook semalam.
Rundingan selepas PRU15 berlaku selepas parlimen tergantung, apabila PH muncul sebagai blok terbesar dengan 82 kerusi masih kurang daripada 112 kerusi majoriti mudah yang diperlukan.
Muhyiddin ketika itu mendakwa dia memiliki sokongan 115 ahli parlimen namun istana tidak menerima dakwaan tersebut selepas sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong. Akhirnya, Seri Paduka mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan.
Anwar Ibrahim kemudian mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November 2022, selepas hampir seminggu kebuntuan politik.
Dalam kerajaan perpaduan itu, Anwar mengetuai gabungan dengan BN sebagai rakan utama PH, bersama GPS dari Sarawak, GRS dari Sabah dan Warisan.
‘Terlibat sepenuhnya’
Marzuki turut menegaskan dia terlibat secara langsung dalam rundingan antara PN dan BN.
“Saya bukan setakat ada kaki dalam rundingan tersebut, malah seluruh tubuh badan saya berada di situ dari awal rundingan hingga ke akhirnya.
Pertama, rundingan berlaku dalam suasana yang muhibbah.
"Tidak pernah sekali pun Tan Sri Muhyiddin memperkecilkan Umno. Lagipun yang datang semuanya kawan-kawan beliau dalam Umno dan BN. Bercakap pun seperti kawan-kawan lah.
"Kedua, dalam rundingan mestilah ada tawaran. Rombongan BN datang dengan tawaran Ahli-Ahli Parlimen BN memberikan sokongan secara en-bloc kepada Tan Sri Muhyiddin sebagai perdana menteri.
"Sebagai balasan, PN menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada BN, jawatan kabinet mengikut komposisi kerusi Parlimen yang dimenangi dan beberapa perkara lain,” katanya.
Menurut Marzuki, nama calon TPM dari BN tidak ditentukan ketika itu kerana ia sepatutnya dibincangkan antara perdana menteri dan pimpinan tertinggi BN.
Surat tawaran
Selepas rundingan berakhir, delegasi BN yang diketuai oleh timbalan pengerusinya, Mohamad Hasan meminta supaya tawaran itu dinyatakan secara bertulis untuk dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada malam tersebut.
“Selepas rundingan tamat, saya duduk bersama-sama YB Dato' Seri Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung PN pada masa itu dan beberapa orang lain untuk menyediakan sepucuk surat yang mengandungi tawaran-tawaran PN kepada BN.
"Surat tersebut yang dialamatkan kepada Timbalan Pengerusi BN diserah tangan pada hari yang sama.
"Pada ketika itu saya fikir tidak ada sebab untuk Umno menolak tawaran-tawaran dengan terma-terma yang munasabah yang telah dibincangkan serta dipersetujui secara dasarnya dalam rundingan. Cuma ia perlu dibawa ke MKT Umno untuk pengesahan,” kata Marzuki.
Namun begitu, dia tidak pasti sama ada surat itu pernah dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan Umno malam itu.
“Apabila saya pulang lewat malam itu, saya terkejut membaca kenyataan media daripada setiausaha agung Umno yang menyatakan bahawa Majlis Tertinggi telah memutuskan untuk menolak kerjasama dengan PN dan sebaliknya akan bekerjasama dengan PH,” katanya.

“Saya terkejut. Tapi apa lagi saya boleh buat? Dah lewat, keputusan dah dibuat, saya penat — jadi saya tidur, harap esok lebih baik daripada hari ini.”
Marzuki berkata walaupun dia jarang mendedahkan butiran rundingan politik, di merasakan perlunya untuk bersuara kali ini.
“Apabila saya pulang ke rumah pada lewat malam tersebut, saya terkejut membaca kenyataan media Setiausaha Agung Umno yang menyatakan bahawa MKT Umno telah memutuskan untuk menolak kerjasama dengan PN. Sebaliknya Umno memilih untuk bekerjasama dengan PH. Saya terdiam.
"Namun apa boleh buat. Hari pun sudah lewat malam, keputusan telah dibuat, badan sudah letih, saya pun tidur saja lah sambil mengharapkan hari esok lebih baik daripada semalam.
"Saya bukanlah orang penting. Tetapi telah ditakdirkan saya terlibat dalam banyak rundingan politik. Saya tidak gemar mendedahkan butiran rundingan.
"Tetapi sekiranya ia telah menjadi sumber pembohongan dan bahan fitnah, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menyatakan kebenaran.
"Saudara Rafizi, people can be lied about, but they don't deal in lies," katanya lagi.
Rafizi sebelum ini membuat dakwaan itu dalam episod terbaharu podcast Yang Berhenti Menteri, dengan mengulas isu semasa dan sejarah selepas meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi.