Polis Terengganu masih menunggu laporan perubatan untuk seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang menjadi mangsa pukul di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, Kemaman pada 17 Jan lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman DSP Wan Muhamad Wan Ja'afar juga berkata pihaknya telah menghantar dan merujuk kertas siasatan membabitkan Nor Al Faizan Jusoh, 47, kepada Jabatan Peguam Negara.
Dia bagaimanapun berkata, selepas penelitian dan semakan keterangan, pejabat timbalan pendakwa raya mengarahkan supaya polis mendapatkan laporan lengkap perubatan dari Hospital Kemaman.
“Oleh itu, polis menasihatkan orang ramai atau mana-mana pengguna media sosial supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu siasatan atau mendatangkan kegusaran awam.
“Tindakan undang-undang boleh diambil kepada mana-mana pihak yang melanggar peraturan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Muhamad berkata polis akan memastikan siasatan dijalankan secara telus serta adil, dan sebarang perkembangan berkaitan kes akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Setakat ini, enam lelaki berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes yang mendapat perhatian masyarakat dan pemimpin tertinggi negara itu.





