Peguam yang mewakili ibu kepada kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Syamsul Haris Shamsuddin menuduh Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan, Dr Mahathar Abd Wahab, berbohong.
Peguam Naran Singh mempertikaikan kenyataan Mahathar sebelum ini bahawa bezah siasat pertama Syamsul tidak dilakukan oleh pegawai perubatan dari Hospital Kota Tinggi di Johor.
Jelas Naran, pegawai perubatan berkenaan telah mengangkat sumpah di Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa dia menjalankan bezah siasat itu.
"Ketua pengarah (Mahathar) berbohong," kata Naran kepada Malaysiakini.
Dalam afidavit bertarikh 21 Ogos yang dilihat oleh Malaysiakini, pegawai perubatan itu berkata dia menjalankan bezah siasat dengan bantuan pakar jabatan forensik Hospital Sultan Ismail.
Dalam dokumen yang sama, dia meletakkan Hospital Kota Tinggi sebagai alamatnya.
Afidavit berasingan oleh pakar forensik Hospital Sultan Ismail bertarikh 21 Ogos berkata dia telah membantu pegawai perubatan dari Hospital Kota Tinggi dalam bezah siasat.
"Saya bersedia untuk berdebat secara terbuka (perkara ini) dengan beliau (Mahathar)," kata Naran.
Awal hari ini, Mahathar berkata semua kes bezah siasat forensik diselia oleh pakar patologi forensik sambil menegaskan bezah siasat Syamsul dilakukan mengikut prosedur forensik yang ditetapkan selepas mendapat arahan daripada polis.
“Kes dirujuk kepada Pakar Patologi Forensik dan jasad dibawa ke Hospital Sultan Ismail, Johor yang mempunyai fasiliti lengkap bagi memastikan pemeriksaan dilakukan secara menyeluruh dan terperinci.
"Bedah siasat itu dilakukan oleh Pegawai Perubatan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail, Johor, dan bukan oleh Pegawai Perubatan Hospital Kota Tinggi, Johor seperti didakwa," kata Mahathar dalam satu kenyataan.
Semalam, Naran memberitahu Malaysiakini bahawa dia menuntut penjelasan mengenai penglibatan pegawai perubatan dalam bezah siasat yang dijalankan ke atas mayat Syamsul pada 29 Julai.
Jelas Naran, ibu Syamsul, Ummu Haiman Bee Daulatgun, sebelum ini menyatakan hasratnya agar pakar forensik menjalankan bezah siasat ketika mayat anaknya dibawa ke Hospital Kota Tinggi.
Bagaimanapun, Naran mendakwa meski Ummu sudah menyatakan hasrat itu, pegawai perubatan yang sama dari Hospital Kota Tinggi telah melakukan perjalanan sejauh 40km ke Hospital Sultan Ismail untuk menjalankan bezah siasat.
Syamsul, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai lalu. Dia telah menjalani latihan Palapes sebelum kematiannya.
Ummu mengesyaki perbuatan khianat selepas melihat lebam dan mata berlumuran darah pada mayat Syamsul sebelum dikebumikan, yang menyebabkan dia membuat laporan polis.
Timbalan Ketua Polis Johor Abdul Latiff Mehat berkata pada 1 Ogos lalu bahawa polis sedang menyiasat kematian Syamsul.
Bagaimanapun, keesokan harinya, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Yusof Othman berkata tiada unsur jenayah ditemui dalam kes itu, manakala Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata kementeriannya telah menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat kematian Syamsul.
Ummu kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Ogos, memohon penggalian mayat Syamsul, bezah siasat kedua, dan inkues kematiannya.
Pada 26 Ogos, pesuruhjaya kehakiman Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membenarkan permohonan Ummu supaya mayat Syamsul digali dan bezah siasat kedua diadakan.
Pada 18 Sept lepas, Peguam Negara Dusuki Mokhtar berkata sebarang keputusan sama ada inkues akan diadakan berhubung kematian Syamsul akan dibuat selepas menerima laporan polis penuh termasuk laporan hospital mengenai bezah siasat kedua yang dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan.