PARLIMEN l Malaysia memanfaatkan setiap peluang pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk secara konsisten mendesak langkah penyelesaian menyeluruh terhadap isu Gaza sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setiap pertemuannya dengan pemimpin dunia itu, sama ada secara rasmi mahupun peribadi, dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyuarakan isu Gaza.

Beliau menjelaskan bahawa istilah comprehensive settlement atau comprehensive solution digunakan bagi menekankan bahawa penyelesaian sebenar terhadap konflik di Gaza perlu bersifat menyeluruh, bukan sekadar gencatan senjata tanpa mengiktiraf hak kedaulatan rakyat Gaza dan Palestin.
“Secara rasmi, saya membangkitkan isu ini sebanyak tiga kali dan mendapat liputan media. Manakala dalam The Beast (kenderaan rasmi Presiden Amerika Syarikat), ia merupakan perbualan empat mata yang bersifat peribadi. Dalam tiga kesempatan rasmi itu, saya menegaskan tentang perlunya penyelesaian menyeluruh terhadap masalah Gaza dan Palestin.
“Saya ingin tekankan di sini, yang paling penting bagi saya dan sangat melegakan ialah peluang menyampaikan secara hati ke hati tentang permasalahan Gaza dan Palestin kepada Presiden Donald Trump,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.






