Ketika saya sedang duduk menanti untuk solat jenazah Abu Bakar Abdul Rashid pada Ahad lalu, Mohamad Sabu yang berada di sebelah saya berkata bahawa ada watak Allahyarham seumpama Abu Dzar Al-Ghifari.
Selain Mohamad Sabu, pemimpin-pemimpin Parti Amanah Negara yang turut hadir di masjid itu ialah Dr Dzulkefly Ahmad, Adly Zahari, Mahfuz Omar dan Hanipa Maidin. Juga aktivis-aktivis seperti Tian Chua dan Hishamudin Rais. Bekas aktivis PAS seperti Kamal Koh dan Redhuan Oon juga ada.
Abu Dzar Al-Ghifari adalah seorang sahabat Nabi Muhammad s a w. yang terkenal dan dihormati bukan saja di kalangan pengikut mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah tetapi juga Syiah. Beliau menjalani kehidupan yang zuhud iaitu bersederhana dan tidak bermewah-mewah. Tetapi apa yang membuat Abu Dzar terkenal ialah apabila beliau pergi ke istana Khalifah Muawiyah di Damsyek untuk menyatakan bantahan terhadap cara pemerintahannya yang dianggap bermewah.
Pada awal tahun 1980-an, Abu Dzar Al-Ghifari menjadi tokoh yang diminati oleh generasi anak muda yang teruja dengan Revolusi Islam Iran. Pemikir revolusi Iran, Ali Shariati sering menyebut tokoh ini. Selain itu. golongan kiri di kalangan umat Islam juga membuat rujukan terhadapnya. Namun begitu dokumentasi terhadap Abu Dzar hanya terhad pada beberapa kisah. Namun begitu, kisah-kisah yang ada itu sudah cukup untuknya mewujudkan satu fahaman ekonomi politik dalam khazanah pemikiran Islam.
Mohamad Sabu adalah sahabat kepada Abu Bakar sejak tahun 1980-an lagi ketika beliau adalah salah seorang pemimpin Dewan Pemuda PAS Pusat. Abu Bakar ketika itu adalah seorang aktivis pemuda yang turut memberi sumbangan buah fikiran dan tenaga. Mereka bukan saja berjuang dalam parti yang sama tetapi berkongsi suatu jenis fahaman gerakan Islam progresif yang mengutamakan keprihatinan terhadap golongan susah.
Apa yang dimaksudkan oleh Mohamad Sabu mengenai perwatakan yang dikaitkan dengan Abu Dzar Al-Ghifari ialah Abu Bakar tidak pernah meminta jawatan atau imbalan daripadanya walaupun mereka bersahabat dalam berjuang sekian lama.
Seperkara lagi yang dikaitkan dengan Abu Dzar ialah ketegasannya mengkritik penguasa politik tidak kira pihak, termasuk pihak yang didukungnya. Maka begitu juga Abu Bakar Sememangnya sasaran teguran dan kritikannya sejak tahun 1980-an adalah terhadap kerajaan Umno. Namun beliau tidak teragak-agak membantah partinya sendiri iaitu PAS apabila mengetahui perkara-perkara yang tidak disetujuinya. Ketika beliau menjadi aktivis independen yang cenderong pada pembangkang, beliau dengan mudah mengkritik mana-mana pihak. Begitu juga apabila beliau menjadi pendukung Amanah, walaupun secara umumnya kritikannya tertumpu pada pihak lawan iaitu PAS dan Perikatan Nasional, tetapi ada kalanya beliau turut menghalakan kritikannya terhadap kerajaan Madani, Pakatan Harapan, Amanah malah kepada Mohamad Sabu sendiri.
Mohamad Sabu pula pernah menjadi ahli parlimen daripada PAS dan jawatan teringgi beliau dalam parti itu ialah Timbalan Presiden. Sebagai Presiden Amanah pula, beliau menyandang jawatan Menteri Pertahanan dan kini adalah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Pencapaian Mohamad Sabu juga melalui simpang -siur yang tidak disangka. Daripada aktivisme pelajar di kampus Institut Teknologi Mara (ITM), kemudian ke Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan PAS dengan mengharapkan dapat kemenangan melalui Pakatan Rakyat. Tetapi rupanya beliau bersama pasukannya telah tersingkir daripada pucuk kuasa PAS dengan parti itu keluar dari Pakatan Rakyat kerana mahu menghentikan kerjasama dengan PKR dan DAP, sebaliknya untuk mendekati Umno.
Tanpa diduga, kumpulan yang disingkir daripada PAS itu pula terdorong untuk menubuhkan Amanah dan mengisi tempat yang ditinggalkan PAS dalam pakatan kerjasama dengan PKR dan DAP.
Dalam apa-apa perjuangan politik termasuk yang berdasarkan pada idealisme, tidak semua akan mencapai kemenangan. Sementara yang memperoleh kemenangan pula, seringkali kompromi terpaksa dilakukan dengan pihak-pihak lain. Ada yang berjuang dapat memperoleh jawatan. Tetapi lebih banyak lagi yang hanya perlu berpuas hati melihat kumpulannya menang. Maka golongan aktivis seumpama ini sentiasa wujud sepanjang sejarah dalam apa saja jenis perjuangan. Tetapi kewujudan mereka turut mempunyai kepentingan walaupun nama mereka tidak dikenalii kerana yang tercatat hanya tokoh-tokoh berjawatan.
Abu Bakar Abdul Rashid atau lebih dikenali sebagai Bakar Haq di kalangan kawan-kawannya menggunakan nama Penarik Beca pada blognya dan media sosial meninggal dunia pada Sabtu lalu dalam majlis berbuka puasa yang dihadiri oleh rakan-rakan seperjuangannya. Beliau yang menganjurkan majlis turut mengundang saya tetapi saya tidak dapat hadir.
Bakar Haq meninggal dunia pada usia 67 tahun dan sepanjang hayatnya menjadi aktivis politik sejak awal 1980-an. Saya mengenali beliau pada tahun 1987 ketika beliau berusia 30 tahun dan saya 28 tahun apabila saya menyertai akhbar Harakah yang baru enam bulan diterbitkan.
Bakar adalah salah seorang yang sering datang ke pejabat Harakah bersama pemimpin pemuda yang lain seperti Mohamad Sabu dan Mahfuz Omar. Ketika itu pejabat Harakah di Jalan Pahang Barat merupakan tempat tumpuan aktivis yang bersefahaman progresif dan penyokong Revolusi Islam Iran.
Pada mulanya Bakar bekerja di ibu pejabat PAS tetapi kemudiannya menyertai Harakah sebagai pemberita pada tahun 1989. Menurutnya, sebelum menjadi aktivis, beliau pernah bekerja di pejabat Bahagian Penerbitan Kementerian Dalam Negeri.
Saya bekerja bersama beliau sehinggalah saya meninggalkan Harakah pada tahun 1992. Beberapa tahun kemudian, saya mendapat tahu beliau meninggalkan PAS dan menjadi aktivis independen kerana tidak bersetuju dengan pelbagai perkara. Namun Bakar tetap aktif memperjuangkan isu-isu pihak pembangkang dari Barisan Alternatif hingga ke Pakatan Rakyat. Beliau turut menyertai demonstrasi Bersih. Bakar kemudian aktif menyokong kepada Parti Amanah Negara dan Pakatan Harapan.
Selepas tahun 1992, saya tidak pernah menemui beliau hinggalah pada tahun 2018, apabila saya dapat bertegur sapa dalam satu pertemuan dengan Mohamad Sabu di kediaman rasminya. Namun begitu saya mengetahui Bakar aktif sebagai penulis blog dengan nenggunakan nama Penarik Beca. Pemilihan nama ini memaparkan kecenderungan beliau kepada golongan marhaen. Apabila beliau mula aktif dalam Facebook. Saya mendapati hantaran-hantarannya berisi dan menarik hinggakan saya seringkali juga berkongsi hantaran-hantarannya dan menganggap beliau adalah seorang yang beristiqamah dengan idealisme walaupun merentasi pelbagai parti politik.
Tiba-tiba pada awal Februari, Bakar dan Rahim Kassim, seorang pelopor penubuhan Harakah mengundang saya ke satu majlis “reunion” rakan-rakan seperjuangan ketika Harakah mula ditubuhkan pada tahun 1987. Nakhaie Ahmad turut diundang tetapi tidak dapat hadir. Antara pelopor Harakah ternasuk kolumnis iaitu Subky Latif, Ishak Surin, Yusof Jalil, Hussein Yaakob, Ahmad Lutfi Othman. Shukor Harun, Yusof Sulaiman dan Amaluddin Darus sudah lama tiada. Di majlis itulah, kali terakhir saya menemui Bakar.
Saya tentu sudah tidak ingat tulisan-tulisannya yang berbentuk berita. Ia tidaklah dibukukan untuk dijadikan rujukan. Sebagai editor saya membaca semua tulisan beliau. Di akhbar, beliau bergerak mencari bahan berita secara independen dan tidak hanya menurut arahan editor. Ada kalanya berita itu dijana daripada idea dan iniisiatif para pemberita yang memikirkan dan mengemukakan soalan. Bakar juga seringkali menterjemah berita atau rencana antarabangsa mengenai umat Islam. Beliau memilih rencana-rencana dari akhbar Crescent International yang pro-Iran.
Perlu diingat bahawa pada tahun 1980-an dan 1990-an, media massa adalah berbentuk cetak. Belum ada media sosial dan netizen tidak ada. Sesiapa yang mahu menjadi aktivis, dalam bentuk penulisan, maka tidak ada jalan lain selain daripada menyertai penerbitan akhbar, majalah atau buku. Oleh kerana penerbitan akhbar dan majalah dlkawal ketat oleh kerajaan, maka saluran penulisan hanyalah melalui akhbar parti politik atau penerbit alternatif. Di sinilah perananan akhbar Harakah ketika ia mula diterbitkan pada tahun 1987.
Namun saya mempunyai tanggapan baik terhadap pemikiran, fahaman dan tulisan beliau. Ini kerana saya tidak pernah bertembung pendirian dan fahaman dengan beliau. Maknanya beliau sentiasa berada dalam ruang fikiran (same page) dengan saya. Tetapi beliau adalah lebih berani dan mempunyai idea-idea segar terhadap sesuatu isu.
Satu kenangan saya bersama beliau ialah ketika malam sebelum pilihan raya tahun 1990. Kami berada di bilik mesyuarat lembaga pengarah Harakah menonton berita akhir di televisyen.
Berita memaparkan Tengku Razaleigh Hamzah memakai sighah (tengkolok) Kadazan yang berlambangkan tumbuhan berbentuk salib.
“Habis, kita dah kalah,” kata Bakar. Beliau terus menelefon Fadzil Nor, presiden PAS. Terdengar keluhan Fadzil yang menyesali pemergian Tengku Razaleigh ke Sabah.
Tengku Razaleigh adakah calon Perdana Menteri dari Gagasan Rakyat dianggotai Parti Semangat 46, DAP, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Bersatu Sabah (PBS). Angkatan Perpaduan Ummah dianggotai oleh Semangat 46 dan PAS. Kedua-dua pakatan ini membolehkan PAS bekerjasama dengan DAP .
Pemergian Bakar adalah satu kehilangan bukan saja bagi Pakatan Harapan tetapi juga ia merupakan sebahagian daripada proses penggantian satu generasi perjuangan. Satu persatu generasi pendukung idealisme perjuangan yang diinspirasikan daripada Revolusi Islam Iran sedang mengakhiri zamannya. Begitulah akan berakhirnya satu perjuangan sepanjang hayat.
ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.