Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz tampil menjelaskan situasi membabitkan Ketua Bersatu Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq, yang tidak lagi menyandang jawatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.
Menurut Tun Faisal, tindakan menggantikan Khaliq dengan individu lain dalam barisan MPT bukanlah kerana beliau tidak sependapat dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Sebaliknya, dia menegaskan perkara itu rutin biasa dalam parti politik.
"Khaliq Mehtab bukan dipecat atau digantung, tetapi digantikan dengan lantikan ahli MPT yang lain. Sebagai ahli MPT lantikan, perkara ini adalah biasa. Dalam parti lain pun berlaku perkara yang sama.

"Tiada siapa yang perlu jadi Yes Man. MPT adalah rujukan kepada ahli-ahli parti dan mereka mesti jadi antara yang paling faham tentang perlembagaan, dasar dan keputusan-keputusan parti," katanya kepada Malaysiakini.
Ditanya jika penggantian itu berpunca daripada perbezaan pandangan Khaliq dengan Muhyiddin, Tun Faisal berkata presiden parti sentiasa mengalu-alukan pendirian berbeza namun perlu dikemukakan melalui saluran sewajarnya.
"Selama ini dan sehingga sekarang pun, Muhyiddin dan Bersatu bersifat inklusif dan terbuka kepada bermacam pandangan dan kerjasama dengan pihak lain, asalkan dilaksanakan berdasarkan perlembagaan, keputusan-keputusan dasar parti serta melalui saluran yang betul," katanya lagi.
Khaliq letak jawatan pengerusi biro
Awal hari ini, Khaliq mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi biro perundangan dan perlembagaan Bersatu susulan penamatan khidmatnya sebagai anggota MPT parti itu.
Meskipun berbeza pendirian dengan presiden parti dalam beberapa isu, Khaliq tetap merakamkan penghargaan kepada Muhyiddin atas peluang dan kepercayaan diberikan kepadanya.
Dalam kenyataannya, Khaliq berkata dia komited melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan integriti dan kesetiaan kepada perjuangan parti.
Dia mengakui keputusan untuk menamatkan khidmatnya ada kaitan dengan pendiriannya yang tidak sehaluan dalam beberapa perkara.

"Saya akur bahawa perkhidmatan saya sebagai Ahli MPT dihentikan berikutan saya tidak menyokong sepenuhnya pendirian presiden dalam beberapa perkara tertentu.
"Saya menghormati keputusan itu, namun sebagai Ahli MPT yang dipilih untuk memperkukuh institusi parti, saya percaya hak untuk menyuarakan pandangan dan pendirian yang berbeza adalah sebahagian daripada semangat demokrasi dalam parti yang kita cintai ini," katanya.
Gesa lantik MPT bukan 'yes man'
Khaliq turut mengingatkan parti agar mengutamakan kebolehan dan prinsip dalam pelantikan kepimpinan, selaras matlamat memperkukuh parti.
"Saya berharap agar pada masa akan datang, pelantikan ahli MPT dibuat berasaskan kebolehan, kredibiliti dan prinsip perjuangan, bukan sekadar untuk melahirkan barisan 'yes man'," tambahnya.
Tegasnya pandangan itu bukan bertujuan menentang kepimpinan, sebaliknya lahir daripada rasa tanggungjawab dan kasih terhadap parti.





