Beberapa hari selepas keputusan PRK Sungai Bakap diketahui umum, Amanah hari ini berkata parti itu menghormati pilihan yang dibuat pengundi di kawasan tersebut.
Menerimanya dengan "penuh tawaduk" Amanah berkata usaha berterusan akan digerakkan parti itu bagi mengukuhkan sokongan rakyat terhadap kerajaan pusat.
Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata ada langkah yang perlu diambil oleh pihak kerajaan ekoran keputusan tersebut.
"Justeru kesepaduan jentera (kerajaan) perpaduan antara PH dan BN yang sedang dibina ini perlu diperkukuhkan bagi menghadapi apa jua pilihan raya yang mendatang, terutama PRU ke-16," katanya dalam kenyataan hari ini.
PN - di sebalik kedudukan mereka sebagai pembangkang - berjaya mengekalkan kemenangan di Sungai Bakap pada Sabtu lalu dengan memperoleh majoriti yang lebih besar berbanding apa yang dikumpul mereka pada pilihan raya negeri (PRN) tahun lalu.
Kerusi DUN yang terletak di bawah kawasan parlimen Nibong Tebal itu asalnya menjadi salah satu tempat yang kukuh buat PKR sehinggalah Pulau Pinang mengadakan PRN yang menyaksikan PAS-PN merampasnya pada 2023.
Peratusan keluar mengundi yang rendah serta sikap dingin pengundi dalam kalangan masyarakat Cina didakwa menjadi faktor kekalahan calon kerajaan perpaduan.
Kenyataan Mohamad hari ini dilihat menyambut penegasan dibuat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada hujung bulan lalu.
Dia yang juga Pengerusi BN berkata parti itu akan meneruskan kerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU akan datang, namun menegaskan mereka akan menggunakan lambang sendiri.
“Insya-Allah PRU akan datang kita akan gunakan lambang Barisan Nasional.
:Ini bukan bererti kita lari daripada kesepakatan Kerajaan Perpaduan. Maksudnya PH boleh tanding guna lambang PH dan kita tanding dengan lambang kita, tapi dari segi kerjasama, kita jalinkan," katanya.
Selepas Sungai Bakap berakhir, kerajaan perpaduan akan berdepan ujian sekurang-kurangnya satu lagi PRK iaitu di DUN Nenggiri.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK tersebut akan diadakan pada 17 Ogos depan.





