PARLIMEN | Pembangkang secara sini mencadangkan agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim menukar kerjayanya dan menjadi penari, ketika membangkitkan rasa tidak puas hati berhubung kandungan perjanjian perdagangan timbal balik Malaysia-Amerika Syarikat (AS).
Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin (PH-Larut) menegaskan mereka tidak cemburu dengan Anwar yang dilihat menari ketika menyambut ketibaan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan semasa majlis makan malam Sidang Kemuncak Asean, baru-baru ini.
"Apa yang saya hairan Perdana Menteri seronok menari, eh kau seronok kau punya pasal. Kami tak dengki pun kau menari, kami tak dengki pun kau menari bersama dengan Trump (semasa) menyambut dia.
"Dalam dekorum sebagai yang orang tertinggi (Perdana Menteri) dalam majlis rasmi, kau bangun menari (ketika) bebebrapa pemimpin tertinggi ada sebelah kau.
"Apa pasal pula (pembangkang) nak dengki…Tengok kau menari, rakyat pun tak dengki sebab ada rakyat yang suka, ada yang tak suka,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Hamzah bersama sekumpulan ahli parlimen PN mengadakan sidang media selepas sesi penerangan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz berhubung perjanjian perdagangan timbal balas Malaysia-AS.
PANDUANKINI | Bagaimana perjanjian perdagangan Malaysia-AS jejaskan China
Beberapa hari lalu, video sambutan ketibaan Trump ke Malaysia mengundang perhatian ramai, menarik lebih 21.5 juta tontonan di pelbagai platform.
Disambut dengan persembahan tarian tradisional, Trump dilihat turut menari dengan Anwar ‘melayan’ rentak tariannya. Tindakan itu disambut pujian dan juga kritikan ramai.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata pembangkang hanya ingin mempersoalkan perjanjian perdagangan tersebut, antara lain berhubung Perkara 3.3 berkaitan perdagangan digital.
"Saya nak beritahu Perdana Menteri, kami tak dengki pun kau boleh menari dengan Trump di lapangan terbang dan semasa program rasmi kerajaan.
"Apa yang kami persoalkan adalah tentang perjanjian, kami persoalkan tentang maruah kerajaan, maruah negara. Itu yang kami persoalkan.
"Kalau kau rasa nak menari saja, tukarlah profesion. Kamu boleh jadi penari yang bagus. Saya rasa Malaysia perlukan penari yang bagus di dalam kejohanan menari, mungkin boleh tanya dia untuk wakili Malaysia," katanya.
Perjanjian yang dimeterai itu antara lain menyatakan kadar tarif timbal balik bagi Malaysia dikekalkan pada 19 peratus.
Pada masa sama, Malaysia mendapat persetujuan yang senarai barangan yang dikecualikan daripada tarif tersebut akan kekal berkuat kuasa.
Ini termasuk bagi semikonduktor dan komponen elektronik lain — antara eksport utama Malaysia ke Amerika Syarikat.
Laporan oleh N Faizal Ghazali, Alyaa Alhadjri, Zarrah Morden





