PAS, kata Tuan Ibrahim Tuan Man, tidak akan menggadaikan prinsipnya sekadar untuk menguasai Putrajaya ketika parti itu terus didatangi “banyak pihak” sekarang.
Timbalan Presiden PAS itu menjelaskan, adalah “tidak payah” untuk parti berkenaan memenangi pilihan raya lalu menjadi kerajaan pusat.
Namun, katanya, PAS bertegas untuk mempertahankan prinsipnya.
“Banyak rakan-rakan parti-parti baru mari (datang) bersama-sama dengan PAS, memohon kerja sama bersama-sama dengan PAS.
“Kita mengalu-alukan seluruh parti dengan (pendirian) bahawa kita tidak akan gadai prinsip perjuangan semata-mata untuk kemenangan.
“Kalau sekadar nak menang, nak pergi Putrajaya, bukan benda yang payah,” katanya semasa ceramah sempena sambutan Jubli Intan PAS dan muktamar tahunan parti itu yang ke-75 di Kota Bharu malam tadi.
Jelas Tuan Ibrahim jika PAS mahu kuasa semata-mata tanpa mengambil kira prinsip, ia boleh dilaksanakan, misalnya dengan menyertai atau bekerjasama dengan parti lain tanpa mengambil kira prinsip.
“Tak kira halal haram, tak kira dosa pahala, tak kira nak sembahyang atau bukan nak sembahyang, tak kira macam mana nak bentuk… tapi kita tidak (buat begitu),” katanya lagi.
Tidak pernah rugi
PAS kini sedang mengusahakan kerjasama dengan pelbagai parti, khususnya Umno-BN ketika demam PRU mula terasa memanas.
Bagaimanapun untuk rekod ia bukanlah cubaan pertama PAS. Pada 2018 – ketika Umno-BN menjadi pembangkang buat pertama kali – parti itu membentuk Muafakat Nasional sekali gus menjadi pembangkang utama kepada kerajaan PH 1.0.
Bagaimanapun PAS mengambil langkah sepihak memihak Bersatu – yang ketika itu meninggalkan PH sekali gus menyebabkan kerajaan bertukar di luar pilihan raya – lalu menubuhkan PN.
PRU ke-15 pula menyaksikan BN membentuk kerajaan perpaduan bersama PH selepas tiada mana-mana parti atau blok mempunyai kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan secara sendirian.
Bersatu pula kekal bersama PAS dalam PN.

Namun perkembangan sejak beberapa bulan lalu menyaksikan PAS menguasai PN dan Bersatu pula mula terpinggir sebelum kini tidak mendapat tempat lagi dalam gabungan berkenaan.
Malah PN menjadikan parti yang dipimpin bekas Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, sebahagian daripada komponen mereka. Pada masa sama PAS-PN secara terbuka bekerjasama dengan Umno-BN.
Menurut Tuan Ibrahim, PAS juga mempunyai kaedah tersendiri untuk memasuki pilihan raya, khususnya melibatkan majlis syura ulama mereka untuk menjadi penentu sebarang kerjasama.
Katanya, badan itu memandu hala tuju PAS melalui dasar yang ditetapkan, justeru ia tidak pernah merugikan parti berkenaan.

“Sebab itu yakinlah, sebarang kerjasama politik yang kita buat bukan hanya (berdasarkan) mesyuarat kemudian suka-suka buat keputusan.
“Kita perhalusi satu per satu, kita meneliti satu per satu, kita semak semua aspek, lalu kita serah kepada panduan daripada majlis syura ulamak.
“Kerana itu setiap keputusan kerjasama politik kita, kita tidak pernah rugi.
“Bersama Angkatan (Perpaduan Ummahpada 1990), bersama Semangat 46 kita berjaya tawan Kelantan. Bersama Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat kita menguasai Terengganu dan Kedah.
“Insya-Allah kerjasama kita bersama rakan-rakan strategik parti termasuk BN, Umno, kita yakin muafakat ini akan menguntungkan kita bersama dalam menerajui kepimpinan bagi mengambil alih pentadbiran Putrajaya,” katanya.





