Polis mengambil keterangan daripada seorang individu yang dipercayai memuat naik kenyataan jelik terhadap Menteri Besar Perak Saarani Mohamad di media sosial.
Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Samad Othman berkata lelaki itu telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik kira-kira 3 petang semalam bagi membantu siasatan.
“Pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek yang dipercayai digunakan untuk tujuan (membuat kenyataan jelik) itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Samad berkata kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Pada 9 Mei lalu , IPD Gerik menerima laporan daripada pegawai khas Menteri Besar Perak berkaitan tangkap layar kenyataan jelik terhadap Saarani di laman sosial Facebook.





