Sany Hamzan menggesa Anggota Parlimen Pendang Awang Hashim dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen susulan "kenyataan menghina" wakil rakyat PAS itu dalam Dewan Rakyat.
Sany memetik celahan Awang semasa ucapan penggulungan oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Khamis lalu, dengan merujuk anggota parlimen Hulu Langat sebagai "Hulu Laknat".
Sany berkata tindakan itu menghina Daerah Hulu Langat, yang namanya diperkenankan oleh Sultan Selangor untuk digunakan secara rasmi dalam urusan pentadbiran dan perundangan negeri.
“Ia amat tidak wajar, tidak beradab, dan bertentangan dengan prinsip keluhuran Perlembagaan serta tatakelakuan seorang ahli yang berhormat di Dewan Rakyat,” kata Sany.
Sany juga berkata dia menyerahkan usul rasmi kepada pejabat speaker Dewan Rakyat pagi ini bawah Peraturan Mesyuarat 36(10), untuk merujuk Awang bagi tindakan lanjut.
Dalam Dewan Rakyat, anggota parlimen tidak menyebut nama masing-masing ketika berbahas, sebaliknya menggunakan nama kawasan parlimen yang diwakili.
Sementara itu, anggota parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong mendakwa Awang menggunakan perkataan "Kota Celaka" pada 15 Oktober, semasa perbahasan Belanjawan 2026.
[Berita penuh menyusul]





