Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz memohon maaf atas “keterujaan spontan” ketika meraikan kemenangan pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula One di Grand Prix Singapura baru-baru ini.
Tengku Taufik berkata dia berbesar hati menerima Trofi Kemenangan Konstruktor bagi pihak pasukan itu namun mengakui tindakannya semasa sambutan selepas perlumbaan mungkin “ mungkin tidak bersesuaian dengan tempatnya."
“Ingin saya jelaskan bahawa saya tidak mengambil sebarang minuman keras, namun sebagai seorang Muslim, saya akur bahawa saya seharusnya tidak terlibat dalam sebarang bentuk sambutan sedemikian.
"Oleh itu, saya ingin memohon maaf atas perbuatan saya yang secara tidak sengaja telah menyinggung perasaan dan saya mengambil sepenuh tanggungjawab di atas segala tindakan saya," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Penerangan Pemuda Bersatu (Armada), Harris Idaham Rashid berkata sayap itu mengutuk keras tindakan Tengku Taufik yang mengambil bahagian dalam acara mandi champagne semasa upacara podium Grand Prix Formula 1 Singapura 2025 pada 5 Okt lalu.
Insiden itu berlaku ketika George Russell, mewakili pasukan Mercedes-AMG Petronas F1, memenangi perlumbaan tersebut dan Taufik, dalam kapasitinya sebagai presiden dan CEO Petronas, naik ke pentas untuk menerima trofi pasukan.
Hari ini, Tengku Taufik menegaskan kemenangan tersebut merupakan pencapaian penting dalam kerjasama jangka panjang Petronas dengan pasukan Mercedes-AMG Petronas F1.
Dia turut menyatakan penghargaan atas sokongan berterusan orang ramai terhadap penglibatan syarikat itu dalam sukan berkenaan, yang digambarkannya sebagai “bersaing di tahap tertinggi sukan permotoran."
"Berkat usaha gigih Petronas, kejayaan yang dikecapi sekarang dan kecemerlangan yang bakal dicapai di masa akan datang dalam era bahan api mampan mampu membuktikan kebolehan dan keunggulan inovasi ciptaan Malaysia,” katanya lagi.