28.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, October 30, 2025
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Bekas suami Indira guna Sara dan Budi95, tapi polis masih gagal cari – peguam

    Shopee Sale

    Peguam kepada M Indira Gandhi mendakwa pihak berkuasa melakukan “kegagalan yang tidak boleh dimaafkan”, susulan dakwaan yang bekas suaminya ada di dalam negara serta hidup bebas dan menerima bantuan kerajaan walaupun waran tangkap terhadapnya telah dikeluarkan sejak 15 tahun lalu.

    Sebelum ini, satu hantaran di media sosial mencetuskan semula perhatian terhadap pengendalian polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kes tersebut, dengan mendakwa bekas suami Indira, Riduan Abdullah, masih berada di Malaysia dan menerima manfaat daripada skim bantuan kerajaan seperti Budi95 dan Bantuan Keperluan Asas Rahmah (Sara).

    Hantaran X itu merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh polis pada 2016 bagi mengesan keberadaan Riduan, yang sebelum ini dikenali sebagai K Pathmanathan, lengkap dengan nombor kad pengenalannya.

    Ia turut merujuk laporan pada 2020 yang menyatakan Kementerian Dalam Negeri mendapati melalui siasatan polis, Riduan tidak lagi berada di dalam negara.

    Namun, semakan Malaysiakini di platform Budi95 dan Sara menggunakan nombor kad pengenalan milik Riduan mendapati akaun tersebut telah menggunakan sepenuhnya bantuan tunai Sara sebanyak RM100 dan hampir 100 liter daripada kuota 300 liter subsidi petrol Budi95.

    Semakan tatus perjalanan di portal Jabatan Imigresen menggunakan nombor kad pengenalan sama turut menunjukkan “tiada sekatan” untuknya keluar negara.

    Indira Gandhi

    Malaysiakini telah menghubungi polis berhubung dakwaan tersebut dan sedang menunggu maklum balas.

    Peguam Indira, Rajesh Nagarajan menegaskan sejak 2009, mahkamah telah mengeluarkan “perintah yang jelas dan mengikat” untuk mendapatkan semula anak bongsu Indira, Prasana Diksa serta menahan Riduan yang didakwa menculik kanak-kanak itu selepas menukarkan agamanya kepada Islam secara sepihak.

    “Namun, meskipun arahan itu amat jelas, polis gagal melaksanakan tugas asas mereka – iaitu melaksanakan waran tangkap yang sah.

    “Jika (Riduan) boleh menebus subsidi minyak menggunakan identitinya sendiri, ini bukan soal polis tidak dapat mengesannya – tetapi mereka tidak mahu,” kata Rajesh kepada Malaysiakini.

    Dia turut mengecam AGC dengan mendakwa “kebisuan dan sikap pasif” jabatan itu secara tidak langsung membenarkan kegagalan polis dalam menjalankan tanggungjawab mereka, dan menghantar mesej bahawa penguatkuasaan undang-undang bersifat terpilih dan ada individu yang kebal daripadanya.

    MENARIK:  KPKM buat kajian isu beras tempatan kurang sambutan

    “Ini bukan sekadar kecuaian birokratik; ini adalah aib nasional. Ia mendedahkan sistem penguatkuasaan yang sarat dengan sikap sambil lewa dan dwistandard, sehingga gagal melindungi hak asas seorang ibu terhadap anaknya.

    “Ia memberi isyarat kepada setiap ibu bapa di Malaysia bahawa sistem keadilan tidak cukup kuat untuk mempertahankan pihak yang tidak bersalah, dan tidak cukup berani untuk berdepan pihak yang bersalah — serta kepada setiap pegawai beruniform bahawa tiada akibat apabila ingkar perintah mahkamah,” tegasnya.

    Rajesh turut menggesa agar kerajaan berhenti “melindungi” institusi awam daripada penelitian umum, sambil menuntut agar kepimpinan polis dipertanggungjawabkan atas kegagalan untuk bertindak saban tahun, serta penjelasan daripada AGC berhubung kegagalan menguatkuasakan perintah mahkamah.

    Katanya, Parlimen juga harus menuntut penjelasan kerana rakyat berhak tahu “mengapa seorang yang berada di bawah waran tangkap masih boleh mengisi minyak di stesen petrol sementara polis terus berkata tidak tahu”.

    Hilang lebih sedekad

    Pada 2009, bekas suami Indira secara sepihak menukar agama tiga anak mereka kepada Islam tanpa persetujuannya dan memohon hak penjagaan melalui Mahkamah Syariah.

    Setahun kemudian, Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak penjagaan penuh kepada Indira. Namun, pada 2014, Mahkamah Rayuan membatalkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan ketua polis negara (IGP) untuk mendapatkan semula Prasana.

    Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengesahkan penghakiman minoriti di Mahkamah Rayuan dan mengarahkan polis menahan Riduan dan membawa pulang Prasana.

    Pada 2020, Indira memfailkan saman RM100 juta dengan menamakan bekas IGP Abdul Hamid Bador, polis, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai defendan ekoran tiada sebarang perkembangan mengenai keberadaan anaknya.

    Pada Jun tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak saman tersebut selepas mendapati Hamid dan polis telah melaksanakan tanggungjawab mereka dalam melaksanakan perintah mandamus Mahkamah Persekutuan.

    Mahkamah Rayuan pada 11 Ogos tahun ini mendengar hujah bahawa polis tidak mempunyai tanggungjawab penjagaan (duty of care) terhadap Indira dalam usaha mencari Riduan dan Prasana.

    Mahkamah Rayuan dijadual memberikan keputusan berhubung saman Indira pada 30 Oktober ini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah