Bekas ketua pegawai operasi (COO) HRD Corp Ariff Farhan Doss mendakwa dia membangkitkan beberapa isu dalam syarikat itu sebelum dipecat.
Dalam temu bual dengan Malaysiakini, Ariff berkata dia membangkitkan kebimbangan mengenai perbelanjaan dan keputusan berhubung pembelian bangunan dengan sekurang-kurangnya tiga pengarah sejak 2022.
"Saya membangkitkan kebimbangan mengenai cara perbelanjaan dibuat, termasuk keputusan mengenai pembelian bangunan," katanya.
Ariff secara khusus menentang pembelian bangunan untuk ibu pejabat syarikat itu di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
“Saya menentangnya kerana bangunan itu di kawasan perumahan. Apabila saya membangkitkan kebimbangan dengan para pengarah, perkara itu telah dibawa ke perhatian ketua eksekutif. Dia tidak berpuas hati,” tambahnya.
Pembelian itu akhirnya tidak menjadi kenyataan.
Menurut Ariff, dia sentiasa bercakap mengenai isu dalam HRD Corp dan percaya dia seorang sahaja yang berani berbuat demikian kerana senioritinya.
“Dalam surat tunjuk sebab yang dihantar kepada saya, antara sebab yang dinyatakan adalah kerana saya cuba mempengaruhi lembaga pengarah terhadap pengurusan HRD Corp,” katanya.
Dakwaan pemecatan tidak adil ke atas Ariff telah difailkan dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan tetapi masih belum selesai. HRD Corp enggan menghadiri proses meditasi, atas alasan sebagai badan berkanun, ia tidak diwajibkan untuk mematuhi Akta Pekerjaan.
HRD Corp menjadi tumpuan selepasia gagal audit oleh Jabatan Ketua Audit Negara, yang mengesyorkan Kementerian Sumber Manusia merujuk syarikat itu kepada agensi penguatkuasaan.





