Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini telah membuat keputusan penting berhubung kes pendakwaan melibatkan kematian tragis seorang kanak-kanak autisme, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, yang menggemparkan negara dua tahun lalu.
Zaim dibebaskan, Ismanira diarah bela diri

Memetik laporan Bernama, Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan bapa mangsa, Zaim Ikhwan Zahari, daripada pertuduhan berkaitan pengabaian terhadap anak lelakinya yang ketika itu berusia enam tahun.
Sementara itu, ibu kepada Allahyarham, Ismanira Abdul Manaf, diperintah untuk membela diri.
Keputusan tersebut dibuat setelah mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan bukti mencukupi untuk membuktikan wujudnya kes prima facie terhadap Ismanira.
Namun begitu, mahkamah turut memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pertuduhan terhadap suaminya, Zaim.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan, seorang kanak-kanak istimewa yang menghidap autisme ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai.
Tragedi tersebut menimbulkan kemarahan serta simpati masyarakat yang menuntut keadilan bagi nasib kanak-kanak itu.
Pendakwaan terhadap ibu bapa mangsa dilakukan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara jika sabit kesalahan atas tuduhan mengabaikan tanggungjawab terhadap anak di bawah jagaan.
Sumber: Bernama
The post Zayn Rayyan: Bapa Dilepas & Dibebaskan, Ibu Diperintah Bela Diri first appeared on OHBULAN!.





