
Pelakon, Reen Rahim mendedahkan dirinya tidak terlepas daripada soalan berkaitan anak selepas hampir tiga tahun berkahwin dengan suami, Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin.
Sebak bicara soal anak
Menerusi temu bual bersama Melodi TV3, Reen atau nama lengkapnya Noreen Ashikin Abdul Rahim berharap orang ramai mendoakan agar dirinya dikurniakan rezeki untuk mendapatkan cahaya mata.
Entahlah, bila orang usik pasal topik ini dia akan jadi sedih. Perkara ini sangat sensitiflah.
Siapa yang tak nak anak kan? Dan boleh tak kita tak terikut sangat generasi dahulu yang suka bertanya soal anak?
Saya faham, mereka sayang kita dan nak tengok kita ada anak jadi pada saya lebih manis dan sedap kalau tukarkan pertanyaan kepada doa.
Bercerita lanjut, pelakon drama ‘Pujaan Hati Kanda’ ini memaklumkan perjalanan yang perlu ditempuhi bersama suami membuatkan dirinya bertambah sebak apabila ditanya soal anak.
Perempuan mana yang tak nak mengandung.
Saya yakin Allah itu akan bagi tepat pada masanya. Tak cepat, tak lambat.
Tapi kalau nak cakap balik soal isu ini, saya bukanlah tersinggung sebab soalan tetapi lebih kepada mengenangkan jalan yang kita lalui sepanjang tempoh itu.
Sebab teringin sangat nak mengandung, bukanlah sebab soalan.
Untuk rekod, Reen sah bergelar isteri kepada Hazim dengan sekali lafaz pada 24 Disember 2022.





