Penyanyi dan komposer, Shila Amzah berkongsi sisi kehidupan sebenar menjadi bintang cilik, khususnya terhadap mereka yang terjun ke dalam dunia seni sejak usia muda dan membesar di bawah sorotan umum.
Artikel Berkaitan: ‘Sejujurnya Saya Tak Mahu Kembali Ke Waktu Itu’ – Shila Amzah Sifatkan 2016 Tahun Menyedihkan

Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 37, berkata, pengalaman memulakan kerjaya awal memberi kesan mendalam terhadap perkembangan mental dan fizikal, termasuk dirinya sendiri yang mula bergelar penyanyi sejak kecil.
Sejujurnya, menjadi bintang cilik yang bermula terlalu awal, apatah lagi membesar di hadapan mata umum, seseorang itu sebenarnya kehilangan peluang untuk menjalani proses pembesaran yang normal.
Perkara ini memberi kesan besar dari segi mental dan fizikal. Saya sendiri pernah mendapatkan rawatan dan berjumpa dengan doktor untuk perkara ini.
Mengulas lanjut, pelantun lagu Patah Seribu itu menjelaskan bahawa peralihan fasa kehidupan seorang bintang cilik boleh dilalui dengan lebih baik sekiranya menerima sokongan yang seimbang.
Apa yang ingin saya sampaikan ialah dengan sokongan yang betul, peralihan fasa dalam kehidupan seseorang bintang cilik itu boleh dilalui dengan baik.
Namun, jika sokongan yang diberikan hanya tertumpu kepada kerjaya semata-mata, peralihan itu akan menjadi sangat sukar buat mereka.
Dalam masa sama, Shila menegaskan dia tidak menyalahkan mana-mana pihak, namun mengakui realiti bintang cilik yang meningkat dewasa sering disalah anggap.
Saya tidak mengatakan kesalahan ini terletak 100 peratus pada satu pihak sahaja. Tetapi apabila seseorang bintang cilik itu mencapai usia sekitar 18 atau 19 tahun, mereka sering dianggap lebih matang berbanding rakan sebaya.
Hakikatnya, apabila zaman kanak-kanak mereka ‘diragut’ lebih awal, kesannya pasti akan mengganggu kesihatan mental.
Ibu kepada dua cahaya mata itu turut menjelaskan kesan jangka panjang pengalaman tersebut boleh menyebabkan perkara kecil dalam kehidupan seharian dirasai sebagai beban emosi yang berat.
Secara jujur, saya tidak menggalakkan kanak-kanak memulakan kerjaya dalam industri hiburan terlalu awal kerana perkembangan lobus frontal otak mereka masih belum matang sepenuhnya.
Pada usia itu, mereka belum mampu membezakan sepenuhnya antara betul dan salah dan cenderung mempercayai bahawa segala yang disusun serta ditentukan untuk mereka adalah yang terbaik.
Dalam perkembangan lain, Shila bakal menganjurkan konsert bersempena 25 tahun dalam industri di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC pada 9 Mei depan.
The post ‘Saya Tidak Galakkan Kanak-Kanak Mulakan Kerjaya Dalam Industri Terlalu Awal’ – Shila Amzah first appeared on OHBULAN!.





