Cukup sinonim dengan karya seram, pelakon veteran, Ruminah Sidek mengakui tidak pernah bosan menjayakan watak dalam naskhah genre tersebut.
Artikel Berkaitan: ‘Tak Minum Teh Atau Kopi Sejak Kecil’ – Ruminah Sidek Kongsi Rahsia Kekal Sihat Pada Usia 80 Tahun
Asyik watak seram

Hampir enam dekad bergelar anak seni, Ruminah atau mesra disapa Mak Mah, 80, berkata, dia sendiri tidak pasti mengapa sering kali ditawarkan membintangi naskhah seram.
Bagaimanapun, Mak Mah tetap bersyukur kerana kepercayaan yang diberikan oleh pengarah dan penerbit membolehkannya terus aktif di layar.
Sejujurnya saya tidak tahu kenapa sering dapat tawaran untuk karya seram, mungkin pengarah dan penerbit lihat sesuatu pada saya.
Tugas saya adalah hanya menjalankan tanggungjawab sebagai pelakon, kewajipan saya adalah menjayakan watak tersebut sahaja.
Saya anggap juga ini rezeki yang Allah beri untuk saya, banyaknya berlakon cerita-cerita seram dan hantu.
Mak Mah berkata demikian ketika ditemui pada malam gala tayangan filem Indera, baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Mak Mah memberitahu dia tidak pernah menolak tawaran menjayakan naskhah seram dan sentiasa terbuka melakonkannya asalkan bersesuaian dengan dirinya.
Walau banyak kali dapat tawaran berlakon naskhah seram, sekali pun saya tidak pernah tolak. Saya tetap akan lakukan.
Disoal adakah masih menerima tawaran untuk muncul dalam genre berbeza, Mak Mah menjawab tidak ‘selebat’ tawaran naskhah seram.
Ada juga, cuma watak saya untuk genre selain seram mungkin wataknya terhad. Kalau ada pun jadi watak nenek. Saya juga terbuka sahaja jika diberikan apa-apa watak. Tidak memilih, saya juga berlakon.
Dalam perkembangan terkini, Mak Mah membintangi sebuah filem seram terbaharu berjudul Indera yang telah menemui penonton di seluruh pawagam Malaysia sejak 7 Ogos lalu.
Selain Mak Mah, filem Indera terbitan Greenlight Pictures, Lomo Pictures serta GSC Movies turut dibintangi Shaheizy Sam, Azira Shafinaz, Samara Kenzo dan ramai lagi.
Sekadar info, kelibat Mak Mah sering dilihat dalam karya-karya seram seperti Santau, Jangan Pandang Belakang, Waris Jari Hantu, dan Highland Tower.
The post Ruminah Sidek Tak Kisah Kerap Berlakon Naskhah Seram – ‘Rezeki Saya Banyak Berlakon Cerita Hantu’ first appeared on OHBULAN!.