Dalam dunia moden yang masih tidak terlepas daripada kepercayaan terhadap unsur mistik dan kuasa ghaib, hadir sebuah karya yang berani menggugat kepercayaan itu yang berjudul, Qifarah.
Filem seram, Qifarah

Filem seram psikologi arahan Ghaz Abu Bakar ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 9 Oktober 2025, membawa tema tentang pengkhianatan, dendam dan bayaran atas dosa silam.
Tidak seperti filem seram klise yang hanya bergantung pada kejutan visual, Qifarah memilih untuk membawa penonton menyelami sisi gelap jiwa manusia tentang bagaimana rasa bersalah, nafsu dan dendam boleh menjerumuskan seseorang ke lembah kepercayaan terhadap ilmu hitam.
Kisahnya berpusat pada watak Yusoff (lakonan Remy Ishak), seorang lelaki yang pulang ke tanah air selepas bertahun-tahun berada di luar negara. Kepulangannya untuk menziarahi ayahnya yang sakit, Ghazali (Esma Daniel), ternyata mengundang lebih daripada sekadar pertemuan keluarga.
Dia secara tidak sengaja membongkar rahsia lama mengenai kecurangan ayahnya terhadap ibunya Nur (Vanidah Imran) melalui perkahwinan dengan Mawar (Sharifah Sakinah), seorang wanita misteri yang dikatakan mengamalkan ilmu hitam.
Apa yang disangka penyesalan dan penyatuan berubah menjadi mimpi ngeri apabila Yusoff mula diganggu kejadian aneh dan menyeramkan. Setiap gangguan membawa petanda bahawa dosa silam keluarga itu belum benar-benar terpadam, malah sedang menuntut balasan.
Temui penonton 9 Oktober

Qifarah menjadi cerminan kepada realiti masyarakat kita tentang bagaimana manusia sanggup menyeleweng daripada fitrah apabila dikuasai keinginan, iri hati, dan kepercayaan terhadap perkara ghaib. Dalam budaya yang masih mempercayai jalan singkat untuk membalas dendam, filem ini hadir sebagai peringatan bahawa setiap kesalahan pasti ada akibatnya.
Meskipun berteraskan fiksyen, Qifarah mengetengahkan isu sebenar yang masih wujud dalam kehidupan masyarakat hari ini tentang kecurangan, iri hati dan kepercayaan terhadap kekuatan yang menentang hukum Tuhan.
Ia bukan sekadar tontonan seram, tetapi juga satu bentuk refleksi tentang bagaimana perbuatan manusia sendiri boleh menjadi ‘qifarah” atau pembalasan atas dosa yang dilakukan.
Dengan jalan cerita yang gelap, sinematografi yang mengundang rasa ngeri, dan lakonan mantap barisan pelakon berpengalaman, Qifarah dijangka meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
Saksikan Qifarah di pawagam bermula 9 Oktober 2025, sebuah kisah seram yang bukan sahaja menggetarkan jiwa, tetapi juga mengingatkan kita bahawa setiap dosa ada harganya.
The post Filem ‘Qifarah’ Angkat Kisah Dosa & Pembalasan, Temui Penonton 9 Oktober Ini – ‘Setiap Dosa Ada Bayarannya’ first appeared on OHBULAN!.