Penyanyi, Azharina Azhar mengesahkan namanya tersenarai antara penerima Anugerah Ahli Darjah Kinabalu (ADK) sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-74 Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Tahniah!

Ketika dihubungi , Azharina memaklumkan bahawa dia hanya mengetahui mengenai perkara tersebut selepas dimaklumkan oleh beberapa kenalan rapatnya.
Saya dapat tahu semalam apabila beberapa kenalan rapat mengucapkan tahniah dan menghantar senarai nama yang dikeluarkan oleh Istana Sabah.
Saya pun dah tengok senarai tersebut dan ia benar ada nama saya. Namun, saya tak berani nak berikan sebarang kenyataan yang lebih lanjut kerana masih belum menerima anugerah ini secara rasmi.
Disoal mengenai perasaan ketika mendapat tahu mengenai berita tersebut, pelantun lagu Rawan ini berkata, dia berasa sangat terharu.
Tambah Azharina, anugerah ini sangat berharga kerana ia merupakan satu bentuk pengiktirafan bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada semua anak seni yang telah bertungkus-lumus mengangkat industri hiburan tempatan.
Saya tidak pernah menyangka akan menerima anugerah sedemikian.
Ia benar-benar menyentuh hati saya. Segala usaha, air mata dan perjalanan saya selama lebih dua dekad dalam industri ini terasa sangat dihargai.
Azharina turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Sabah atas penghargaan ini serta kepada peminat iaitu Azharina Angels yang tidak pernah berhenti memberi sokongan sejak awal pembabitannya dalam dunia seni.
Saya pernah masuk Istana Sabah untuk menyanyi. Tetapi kali ini rasanya pasti lain.
Penyanyi kelahiran Kota Kinabalu itu menjadi antara 181 individu yang tersenarai menerima ADK kali ini.
Di akhir temu bual, Azharina berkata, pengiktirafan ini menjadi pembakar semangat buatnya untuk terus aktif dalam bidang seni di samping, memberikan yang terbaik buat negeri Sabah dan seluruh rakyat Malaysia.
The post Azharina Azhar Tersenarai Penerima Pingat ADK first appeared on OHBULAN!.





