PARLIMEN | Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa memaklumkan dia akan mengetuai sebuah pasukan petugas khas bagi menyelaraskan rundingan berkenaan Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur, demi melindungi kepentingan masyarakat Melayu di situ.
Ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini, Zaliha berkata langkah itu susulan arahan Kabinet berhubung rundingan antara agensi kerajaan, syarikat pemaju dan wakil penduduk kampung itu.
Dia turut menyentuh langkah kerajaan bagi meningkatkan pemilikan Bumiputera di situ, antaranya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti UDA Holdings Berhad dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad yang akan terlibat secara aktif dalam pembangunan semula di kawasan Melayu yang strategik.
Rumah ganti khas untuk orang Melayu juga akan diperuntukkan di kawasan itu, katanya.
Selain itu, katanya lagi, DBKL juga akan memantau kadar pematuhan kuota Bumiputera di kawasan itu menerusi mekanisme pelaporan setiap suku tahun.
Kampung Sungai Baru menjadi tumpuan dalam perbahasan mengenai hak tanah selepas sekumpulan penduduknya membantah rancangan pembangunan semula.

Ketegangan memuncak semasa operasi pengusiran pada 12 September lalu, yang menyaksikan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman mengalami kecederaan di kepala.
Pengusiran itu dijalankan melalui perintah mahkamah bagi membuka laluan untuk pembangunan semula kawasan berkenaan oleh KL City Gateway Sdn Bhd.
Dalam perbahasannya, Zaliha kelihatan kesal dengan sejumlah ahli Parlimen pembangkang dan berkata mereka sering keliru antara Kampung Sungai Baru dengan Kampung Baru.
“Walaupun Kampung Sungai Baru sebahagian daripada Kampung Baru, statusnya berbeza.
“Saya telah nyatakan Kampung Sungai Baru bukan tanah Penempatan Pertanian Melayu (MAS) dan tidak pernah juga diwartakan sebagai tanah rizab Melayu,” katanya.
Awal bulan ini, Zaliha menjelaskan Kampung Sungai Baru terbentuk pada 1967 selepas kerajaan Selangor melaksanakan projek pelurusan sungai Klang, lalu mewujudkan tanah baru seluas kira-kira 16 ekar.
“Tanah baru inilah yang dinamakan Kampung Sungai Baru. Tetapi, tidak termasuk di dalam kawasan rizab MAS seluas 219.91 ekar. "...Tiada rekod rasmi yang menunjukkan tanah tersebut adalah tanah MAS atau rizab Melayu," katanya ketika itu.
Penjelasan itu susulan kenyataan yang dibuat bekas ketua audit negara Ambrin Buang bahawa kampung itu berstatus MAS dan tidak boleh ditukar kepada bukan Melayu.
Laporan oleh N Faizal Ghazali, Alyaa Alhadjri, Zarrah Morden





