Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Saiful Wan Jan hari ini membangkitkan dakwaan salah laku membabitkan rakan partinya, Azmin Ali dan Tun Faisal Ismail Aziz – termasuk ugutan fizikal serta peranang siber di alam maya.
Wan Saiful yang sebelum ini dipanggil berdepan lembaga disiplin parti – sesi yang kini ditangguhkan – berhubung usahanya mengumpul akuan berkanun (SD) daripada ketua bahagian Bersatu, hari ini berkata dia akan mengemukakan laporan balas terhadap kedua-dua pemimpin berkenaan.

“Kesimpulannya, saya ingin nyatakan bahawa saya akan menghantar laporan disiplin berhubung salah laku Azmin Ali dan Tun Faisal.
“Kedua, selepas mendengar semua penjelasan, saya berharap dan percaya bahawa semua pihak, termasuk pimpinan tertinggi parti, akan lebih memahami keadaan sebenar,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya yang turut dihadiri penyokong yang terdiri daripada ketua-ketua bahagian dan ahli Bersatu.
Menyasarkan Azmin, Wan Saiful lebih awal mendedahkan hubungannya dengan setiausaha agung Bersatu itu “kejap panas, kejap sejuk” sejak tahun lalu, dipercayai berkait perkembangan baharu siasatan terhadap skandal video 2019 yang mengaitkan bekas menteri kabinet itu.
“Selepas konvensyen (Bersatu) tahun lepas, saya terima maklumat baharu yang mendakwa siasatan forensik ke atas video intim yang dikatakan membabitkan Azmin Ali di Sandakan mengesahkan video itu adalah tulen.
“Perkara ini mengubah pendirian saya terhadap Azmin Ali. Saya nyatakan pandangan kepada beberapa orang bahawa selagi isu ‘video songsang’ ini tidak diselesaikan, Azmin tidak layak jadi pemimpin Bersatu.
“Saya berpandangan kalau ia fitnah politik, ya, kita mesti pertahan dan lawan. Tetapi kalau ia isu moral yang menyimpang, maka ia tidak sesuai untuk parti seperti Bersatu.
“Parti lain mungkin boleh terima. Tetapi bukan Bersatu,” kata Wan Saiful, sambil menambah dia sebelum ini pernah menyokong Azmin untuk naik sebagai timbalan presiden parti.
Malaysiakini sudah menghubungi Azmin untuk mendapatkan respon terhadap dakwaan yang dibuat oleh Wan Saiful.
Azmin pada 2019 menafikan sekeras-kerasnya apa yang digambarkannya sebagai “fitnah kejam” terhadap dirinya oleh Haziq Abdullah Abdul Aziz, individu yang mengaku muncul dalam video terbabit.

Dalam perkembangan sama, Wan Saiful turut menamakan Tun Faisal sebagai pemimpin parti yang melaporkannya kepada jawatankuasa disiplin, selain menuduh beliau cuba memalitkan dirinya dengan tuduhan palsu berkaitan pengumpulan akuan berkanun.