Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan menggesa kerajaan melakukan rombakan besar-besaran terhadap Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), selepas prestasi agensi itu kembali dipersoalkan dalam perbahasan Dewan Rakyat.
Katanya, kritikan yang dibangkitkan oleh beberapa ahli Parlimen di Dewan Rakyat semalam menunjukkan masalah J-KOM bukan lagi isu terpencil.
“Isu J-KOM bukanlah baharu. Sejak beberapa tahun lalu, polemik fungsi, perananan, dan keberkesanan J-KOM telah dibangkitkan berkali-kali dalam Dewan Rakyat. Namun, hingga kini, masalah tidak juga selesai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Wan Saiful, teguran bahawa J-KOM gagal menyampaikan maklumat dasar kerajaan kepada rakyat, selain amaran supaya ia tidak dijadikan alat propaganda politik, wajar diambil serius memandangkan agensi itu dibiayai sepenuhnya oleh wang pembayar cukai.
Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat partinya, baru-baru ini turut mempersoalkan pertukaran tiga kali Ketua Pengarah J-KOM di bawah kerajaan yang sama, sambil menyifatkannya sebagai indikasi kemungkinan campur tangan politik dalam proses pelantikan.
“Semua komen dan kritikan ini menuntut J-KOM kembali kepada fungsi asas – menyampaikan maklumat secara adil, telus dan berkesan tanpa bias politik.
“Keberkesanan J-KOM adalah penting, bukan sahaja untuk kerajaan hari ini, tetapi juga untuk kerajaan-kerajaan yang akan datang,” katanya.
Wan Saiful seterusnya membandingkan J-KOM dengan Government Communication Service (GCS) di United Kingdom, sebuah badan komunikasi kerajaan yang mengekalkan standard ketat dalam pelantikan pegawai, bebas daripada pengaruh parti pemerintah.
Katanya, GCS menunjukkan bagaimana garis panduan jelas, laporan berkala kepada Parlimen, serta pematuhan etika boleh mengekalkan kepercayaan rakyat dan memastikan agensi berfungsi dengan profesional.
Justeru, dia menggesa Kementerian Komunikasi menilai semula tujuan asas penubuhan J-KOM, termasuk reformasi struktur pelantikan. Wan Saiful juga menuntut semua jawatan kanan, termasuk ketua pengarah, dibuka kepada penjawat awam profesional melalui proses pengundian kompetitif dan telus, bukan lantikan politik.
“Pegawai awam terlatih boleh menjamin neutraliti, kestabilan kepimpinan dan objektiviti komunikasi,” katanya lagi.
Menurutnya, J-KOM berpotensi menjadi jambatan penting antara kerajaan dan rakyat, tetapi hanya jika ia dibina semula dengan prinsip profesionalisme, ketelusan dan integriti.
“Untuk mengembalikan kepercayaan rakyat, J-KOM mesti kembali kepada asasnya,” tegas Wan Saiful.





