PARLIMEN | Menteri Pengangkutan Anthony Loke menegaskan keputusan untuk menghidangkan minuman beralkohol oleh syarikat penerbangan merupakan keputusan komersial dan sudah menjadi norma dalam industri penerbangan di seluruh dunia.
Justeru, Loke (PH-Seremban) menggesa perkara itu tidak dijadikan polemik dan menambah yang Malaysia Airlines (MAS) tidak lagi menghidangkan minuman beralkohol untuk penerbangan domestik dan penerbangan antarabangsa dengan perjalanan kurang tiga jam.
"Untuk laluan penerbangan (antarabangsa) ini, adalah norma untuk kebanyakan syarikat penerbangan antarabangsa memberikan pilihan kepada penumpang, agar ada minuman beralkohol untuk mereka.
"Amalan ini juga selari dengan syarikat penerbangan bertaraf antarabangsa dari negara majoriti Islam yang lain, termasuk Emirates, Etihad Airways, Qatar Airways, Gulf Air, Turkish Airlines dan Garuda Indonesia.
"Jadi untuk penerbangan ke Jeddah sudah tentu tidak ada hidangan beralkohol, ini sudah dilaksanakan oleh pihak MAS," katanya semasa sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dia mengulas perbahasan mengenai isu tersebut yang dibawa oleh Mohd Hasnizan Harun (PN - Hulu Selangor) dan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN - Besut) sebelum ini.

Loke (PH - Seremban) berkat semua pihak perlu melihat perkara itu secara objektif.
Katanya lagi, penumpang beragama Islam yang tidak mengambil minuman beralkohol tetap dihormati, manakala ia dihidangkan dalam penerbangan antarabangsa jika ada permintaan daripada penumpang bukan Islam.
"Mungkin tak ada kepentingan untuk YB (Hulu Selangor), tapi untuk syarikat penerbangan mereka ada pertimbangan mereka, jadi ini adalah keputusan komersial yang kerajaan tidak halang. Jadi perkara seperti ini tidak perlulah jadi polemik.
“Perkara seperti ini tak ada isu dan sudah berpuluh tahun, mengapa nak timbulkan polemik. Ini adalah keputusan komersial daripada syarikat penerbangan," katanya lagi.
Terdahulu, Hasnizan Harun daripada PAS mengulangi gesaan parti itu agar MAS berhenti menghidangkan alkohol dalam penerbangan, dengan alasan pramugari dan pelanggan beragama Islam berada dalam dilema yang tidak selesa disebabkan perkara itu.
Cadangan itu mendapat sindiran Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang menyarankan agar PAS menubuhkan syarikat penerbangan sendiri - dengan nama PAS Airlines.
Dia turut membidas cadangan itu sebagai "tidak demokratik" dan menekankan pilihan untuk mengambil minuman beralkohol adalah hak individu yang diberikan kepada bukan Islam.
‘Kepong buat cadangan bukan-bukan’
Hari ini, Loke yang juga setiausaha agung DAP menegur Lim atas sindiran tersebut.
"Saya juga nak tegur Kepong yang buat cadangan bukan-bukan dia, cakap buatlah PAS Airlines. Saya tak setuju, walaupun dia kawan saya dan daripada parti saya, jangan perlekeh industri penerbangan.
"Kalau nak tegur kita berbahas, tak ada masalah. saya kata janganlah buat cadangan nak buat PAS Airlines ke, lepas itu pihak sana kata buat DAP Airlines atau Roket Airlines pula.
"Parti politik tak layak jadi syarikat penerbangan, banyak syaratnya, banyak lesen, banyak yang perlu kita lalui. Jadi jangan bagi pandangan yang boleh jadi polemik," katanya lagi.
Sementara itu, Aminolhuda Hassan (PH - Sri Gading) mencelah dengan menyamakan jualan minuman beralkohol oleh syarikat penerbangan dengan penjualan di hotel-hotel.
"Kita boleh buat perbandingan, hotel yang kita duduk memerlukan (pelanggan) peringkat antarabangsa, segala orang boleh masuk. Adakah kita nak larang jual arak juga?
"Ini sebagai contoh untuk syarikat-syarikat berkenaan usahakan satu tarikan pelancongan. (Syarikat) kapal terbang pun macam tu juga," katanya.
Laporan oleh N Faizal Ghazali, Alyaa Alhadjri, Zarrah Morden





