Parti Sosialis Malaysia (PSM) mencadangkan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mencadangkan supaya menjadikan penyewa sub sebagai penyewa sah yang baru bagi rumah pangsa kos rendah di Lobak.
Mengulas tindakan MBS yang menanggalkan pintu rumah pangsa kos rendah di Lobak susulan kegagalan penyewa membayar sewa sejak bertahun-tahun, timbalan pengerusi parti itu, S Arutchelvan juga mahu majlis tersebut membatalkan serta merta perjanjian penyewa asal.

Katanya, ini kerana ada sebilangan penyewa asal menyewakan kembali rumah mereka kepada penyewa lain. Justeru, apabila penyewa asal tidak membayar sewa kepada MBS, maka pihak yang menyewa daripada penyewa asal menjadi mangsa.
"Terdapat juga banyak kes apabila penyewa asal telah menyewakan rumah tersebut kepada penyewa lain dengan harga sewa yang lebih tinggi dan mendapat keuntungan daripada ini.
"Dengan mencabut pintu, yang kena hukum adalah penyewa asal dan bukan penyewa kedua yang disub atau masih menduduki unit tersebut.
"Kami akan mencadangkan bahawa majlis (MBS) boleh membatalkan serta-merta perjanjian sewa dengan penyewa asal dan menjadikan penyewa sub sebagai penyewa sah yang baru.

"Dengan melakukan ini, ia akan memastikan penyewa yang lebih miskin akan mendapat manfaat daripada tindakan majlis manakala penyewa asal yang ingkar boleh dihukum secara sah kemudiannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini MBS melaksanakan Operasi Penguatkuasaan Cabut Pintu terhadap penyewa yang culas membayar sewa Rumah Pangsa Kos Rendah (PPR).
Dalam operasi itu, MBS telah menanggalkan enam pintu rumah penyewa di PPR Lobak selepas mereka gagal menjelaskan tunggakan sewa sehingga ada yang mencecah RM34,000.
Dilaporkan jumlah tertunggak keseluruhan sewa bulanan bagi dua PPR seliaan MBS hingga bulan lalu lebih RM3 juta.

Datuk Bandar MBS, Masri Razali berkata jumlah tunggakan sewa di PPR Paroi bernilai RM1.38 juta manakala di PPR Lobak, tunggakan adalah RM1.8 juta.
Sementara itu, Arutchelvan berkata, PSM mengalu-alukan rumah MBS selaras dengan misi Kerajaan Madani untuk menoktahkan kemiskinan tegar.
Bagaimanapun katanya, pihak kerajaan dan majlis daerah harus memastikan mereka ini tidak menjadi mangsa kepada polisi cabut pintu.
"PSM mengalu-alukan rumah majlis murah. Memandangkan kerajaan Madani telah menyatakan misi mereka adalah menoktahkan kemiskinan tegar. Setiap negeri mesti mempunyai data sebenar senarai keluarga miskin tegar sebenar.

"Kerajaan negeri dan majlis mesti memastikan keluarga ini tidak menjadi mangsa dasar tindakan cabut keluar pintu mereka," katanya lagi.