PSM menggesa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menunda pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) ke tahun depan, memetik isu-isu belum selesai yang dibangkitkan oleh kumpulan penduduk, masyarakat sivil, dan parti-parti politik.
Dalam surat terbuka kepada Nga, pengerusi PSM Jeyakumar Devaraj berkata RUU yang dicadangkan mesti diperbaiki untuk menangani kebimbangan itu dan memastikan muafakat lebih luas sebelum dibentang semula di parlimen.
“Kebimbangan ini perlu ditangani supaya muafakat yang lebih luas dicapai sebelum RUU yang dipinda dan diperbaiki dibentang,” kata Jeyakumar.
Antara lain, bekas anggota parlimen Sungai Siput itu berhujah bahawa RUU itu tidak menyentuh isu penyewa, terutamanya keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di flat usang yang disasarkan untuk pembangunan semula.
“Beberapa flat usang mempunyai banyak keluarga berpendapatan rendah tinggal di sana kerana sewa rendah. Pelan pembangunan semula mesti mengambil kira keperluan kediaman mereka,” kata dia.
Pada 4 Okt, Nga dilaporkan menyatakan kesediaan menangguhkan pembentangan RUU itu sehingga selepas kelulusan Bajet 2026 di parlimen minggu ini, sebagai tindak balas kepada perhimpunan anti-PSB yang diketuai PAS di Kuala Lumpur.
Sementara itu, PSM juga menyeru supaya perundingan dengan masyarakat dibuat sebelum pelan pembangunan semula dimuktamadkan.
Nga menekankan bahawa pembaharuan bandar selalunya menyebabkan kepadatan penduduk yang lebih tinggi dan ketegangan infrastruktur.
Dia berkata penduduk yang tinggal dalam jarak satu kilometer dari kawasan pembangunan semula harus diberi peluang memberikan maklum balas dan membangkitkan bantahan melalui proses yang terstruktur.
Jeyakumar berkata proses perundingan awam ditambah ke dalam undang-undang baru, dengan saluran yang jelas untuk aduan, termasuk akses kepada Jawatankuasa Mediasi yang dicadangkan bawah Seksyen 14(2) RUU.
Dia juga menyeru Seksyen 10(3) dan 11(3) — yang menganggap berdiam diri dalam masa 30 hari sebagai persetujuan — dibuang, dengan menyifatkan peruntukan itu sebagai “keras dan tidak demokratik.”
Mengenai mekanisme Jawatankuasa Mediasi Pembaharuan Bandar, Jeyakumar memetik kebimbangan bahawa draf semasa membenarkan badan eksekutif yang meluluskan projek untuk melantik anggota jawatankuasa, menimbulkan konflik kepentingan.
“Jawatankuasa Mediasi hanya boleh tidak berat sebelah dan adil jika tidak di bawah kawalan langsung jawatankuasa eksekutif,” kata Jeyakumar.
Dia seterusnya mencadangkan bahawa jawatankuasa pengundian bebas — terdiri daripada hakim bersara, profesional kanan, ahli kesatuan sekerja, dan wakil penduduk — menyelia pelantikan, dengan raja atau yang di-pertuan negeri merasmikan pengundian setiap tiga tahun.
Ahli politik senior itu menambah bahawa kerajaan harus menunjukkan kepimpinan dengan melibatkan diri secara bermakna dengan semua pihak berkepentingan dan meminda RUU PSB untuk mencerminkan kebimbangan awam.
“Kami berharap kerajaan akan memberi contoh yang baik dengan mengambil serius kebimbangan yang disuarakan oleh pelbagai kumpulan,” kata dia.
Kementerian dalam jawapan bertulis parlimen pada 7 Okt kepada anggota parlimen Pokok Sena Ahmad Yahaya berkata RUU itu, yang dibentang untuk bacaan pertama pada 21 Ogos, melalui Analisis Impak Peraturan (RIA) untuk menilai implikasi sosial dan ekonomi memperkenalkan atau meminda kerangka kerja peraturan.
Menurut kementerian, RUU itu juga dibincangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi pada 17 Okt 2024, 13 Ogos 2025, dan yang terkini, pada 2 Okt.
RUU asal dikecam secara meluas oleh pengkritik yang mendakwa ia akan meminggirkan orang Melayu.