Sudah berubah daripada “mulai tenat” kepada menghampiri “nazak.”
Itu gambaran yang diberikan seorang bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat berhubung keadaan pakatan pembangkang dalam gabungan PN.
Kenyaatan ringkas dibuat Mohd Zuhdi Marsuki itu dilihat menarik keraja ia muncul ketika Bersatu – yang menjadi salah satu parti paling dominan dalam PN – sedang mengalami krisis dalaman. Antara lain disebabkan usaha mengetepikan presiden parti berkenaan, Muhyiddin Yassin.
Selain Presiden Bersatu, keberadaan Muhyiddin dilihat signifikan kerana kedudukannya sebagai Pengerusi PN dengan PAS adalah satu lagi parti dominan.
Menurut Mohd Zuhdi dia sudah memaklumkan secara terbuka bahawa PN kini berdepan dengan isu yang besar dan perlukan tindakan secepat mungkin.
“Saya sudah beritahu hari tu, PN sedang bermasalah besar.
“Jika tidak dipulihkan segera, PN mulai nazak,” tulisnya di media sosial petang ini.
Pada pertengahan Sept lalu, Mohd Zuhdi mengimbau sejarah kerjasama yang dijalin PAS dengan pelbagai parti politik di negara ini sejak sedekad lalu.
Kata bekas setiausaha politik kepada Tuan Ibrahim Tuan Man ketika Timbalan Presiden PAS itu menjadi menteri menjelaskan, daripada tiga gabungan politik yang disertai PAS, dua sudah berkubur iaitu Gagasan Sejahtera dan Muafakat Nasional.
Gabungan yang masih bertahan ketika ini ialah PN.
“Dua telah berkubur, satu sudah mulai tenat,” katannya pada 18 Sept lalu.

Ketika itu beberapa isu dalaman PN timbul termasuk melibatkan PAS secara langsung. Antaranya peletakan jawatan Naib Presiden PAS dan Menteri Besar Terengganu sebagai Bendahari Agung PN.
Kekosongan jawatan tersebut masih belum diisi sehingga kini walaupun Tuan Ibrahim pernah menyatakan PAS ada calon yang sesuai untuk dicadangkan.
Sebelum itu – pada akhir Nov 2024 – PAS menghantar isyarat mahukan jawatan Setiausaha Agung PN melalui tuntutan pemuda mereka. Ia menyusul selepas penyandang jawatan tersebut, Hamzah Zainudin, terpilih sebagai Timbalan Presiden Bersatu.
Bagaimanapun Bersatu menamakan bekas Menteri Besar Selangor dan bekas Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, untuk menggalas tugas yang ditinggalkan oleh Hamzah.
Terkini, beberapa ahli parlimen mendesak agar Bersatu melakukan peralihan kepimpinan tertingginya. Mereka mendesak agar Muhyiddin berundur bagi membuka laluan kepada Hamzah yang didakwa lebih disenangi oleh PAS.
Gerakan itu turut menyaksikan beberapa pemimpin Bersatu dipecat, termasuk bekas ketua penerangan parti terbabit, Wan Saiful Wan Jan.





