27.6 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 12, 2025
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Pemain ‘warisan’ Machuca balik ke Argentina lepas digantung Fifa

    Shopee Sale

    Salah seorang daripada tujuh pemain bola sepak warisan Malaysia, Imanol Javier Machuca, dilaporkan telah pulang ke negara asalnya selepas dikenakan tindakan disiplin dan penggantungan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

    Machuca dilaporkan media tempatan dalam perjalanan pulang ke Argentina untuk menyertai semula kelabnya, Club Atlético Vélez Sarsfield, memetik laporan media tempatan Sábado Vélez yang membuat liputan mengenai kelab berkenaan.

    Menurut laporan NST, pemain berusia 25 tahun tersebut telah berlepas dari Malaysia bagi menyelesaikan isu yang timbul susulan tindakan Fifa.

    “Kami telah bercakap dengannya (Machuca). Dia sedang dalam perjalanan pulang dan kini sedang transit. Dia dijangka tiba di Argentina pada hari Sabtu.

    “Dia kekal positif dengan situasinya selepas memberikan penjelasan yang baik dan berharap Fifa akan membenarkannya bermain semula. Kami kini menunggu keputusan mereka,” kata jurulatih Vélez Sarsfield, Guillermo Barros Schelotto, seperti dipetik dalam laporan pada Jumaat itu.

    Belum boleh main, tunggu keputusan Fifa

    Bagaimanapun, Machuca tidak akan dibenarkan bermain untuk Vélez Sarsfield sehingga Fifa mengeluarkan keputusan rasmi mengenai rayuannya.

    “Selagi kami belum menerima maklum balas daripada Fifa, kami tidak boleh membuat sebarang keputusan tentang langkah seterusnya.

    “Dia berada dalam prestasi terbaik dan banyak menyumbang kepada pasukan. Kita hanya perlu tunggu dan lihat apa yang berlaku selepas ini,” kata Schelotto lagi.

    Fifa dakwa pemalsuan dokumen pemain Harimau Malaya

    Pada 26 September, Fifa mengenakan sekatan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain kelahiran luar negara yang menyertai skuad kebangsaan Harimau Malaya kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa berkaitan pemalsuan dan penipuan dokumen.

    Fifa mendapati FAM telah menyerahkan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain-pemain terbabit, yang membolehkan mereka beraksi dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.

    MENARIK:  Selamat Tahun Baru Cina dari Malaysiakini

    FAM turut dikenakan denda sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta), manakala setiap tujuh pemain tersebut didenda 2,000 franc Swiss (RM10,500).

    Selain Machuca, enam lagi pemain yang digantung ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julaian Holgado, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

    Mereka semua digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

    Menjelaskan keputusannya, Fifa mendedahkan pihaknya telah memperoleh dokumen kelahiran asal datuk dan nenek pemain-pemain yang dikatakan “lahir di Malaysia”, yang ternyata bercanggah dengan dokumen diubah suai yang diserahkan oleh pihak Malaysia.

    Bagi kes Machuca, Fifa mendapati datuknya dilahirkan di Argentina dan bukan di Pulau Pinang seperti yang didakwa.

    JPN kata tak terbabit

    Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan sebarang penglibatan dalam dakwaan pemalsuan dokumen yang melibatkan tujuh pemain “warisan” tersebut.

    Menurut sumber JPN yang enggan dinamakan, perkara itu “tidak melibatkan jabatan berkenaan”.

    “Dalam kes tujuh pemain ‘warisan’ ini, perananan JPN hanyalah untuk menentukan sama ada mereka layak menerima kewarganegaraan Malaysia atau tidak, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

    “Setelah mereka memenuhi syarat yang ditetapkan, JPN meluluskan permohonan tersebut dan memaklumkan kepada FAM, bersama semua dokumen kelulusan berkaitan yang diserahkan kepada pihak FAM.

    “Oleh itu, saya boleh mengesahkan bahawa dakwaan Fifa kononnya pemain berkenaan memperoleh dokumen palsu atau sengaja cuba mengelak peraturan kelayakan tidak melibatkan JPN,” katanya.

    Sumber itu turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan pegawai JPN bersekongkol dalam isu berkenaan sebagai tidak benar.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah