Pemimpin PAS dianggap tidak tahu bersyukur apabila terus memperlekeh penurunan harga petrol RON95 sebanyak 6 sen untuk warganegara berkuat kuasa hari ini dengan alasan ia tidak memberi kesan besar kepada rakyat.
Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, berkata rakyat terbanyak sebaliknya hari ini menyambut dengan rasa amat bersyukur apabila harga bahan bakar itu diturunkan kepada RM1.99 sen seliter.
"Kenyataan ini membuktikan pemikiran PAS terlalu jumud dan jauh dari denyut nadi rakyat terbanyak.
“Bagi rakyat biasa yang setiap hari mengisi minyak untuk motosikal atau kereta kecil, setiap sen yang dijimatkan amat bermakna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahfuz yang juga bekas timbalan menteri sumber manusia menegaskan, realiti hidup rakyat tidak boleh ditimbang dengan kaca mata politik sempit PAS.
Walaupun penurunan harga minyak kelihatan kecil, katanya, ia memberi impak positif kepada kehidupan rakyat.
“PAS sengaja menutup mata terhadap hakikat ini kerana mereka ketandusan idea.
"Bagi rakyat, penjimatan walau sedikit itu nikmat. Bagi PAS, nikmat mereka hanya apabila rakyat susah. Rakyat terbanyak hari ini bersyukur dengan langkah kerajaan Madani," katanya lagi.
Semalam, Malaysiakini melaporkan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Halimah Ali, menyifatkan penurunan harga RON95 sebanyak 6 sen setiap liter sebagai langkah kecil yang tidak memberi sebarang kesan besar kepada ekonomi rakyat.
Katanya, pengurangan harga itu hanya menampakkan kerajaan seolah-olah prihatin tetapi realitinya tidak membantu menangani beban kos sara hidup yang semakin menekan.
“Penjimatan beberapa ringgit sebulan daripada pengisian minyak kereta langsung tidak mengimbangi beban sebenar yang ditanggung rakyat.
“Kos barangan runcit, sewa rumah, bil utiliti hingga caj perkhidmatan terus meningkat, sedangkan gaji rakyat kekal statik.
“Macam bantu tapi tak bantu,” kata ahli Parlimen Kapar itu.
Menurut Mahfuz, penurunan harga RON95 adalah sebahagian daripada strategi menyeluruh kerajaan dalam menangani kos sara hidup daripada subsidi bersasar, bantuan tunai, kawalan harga barang asas hinggalah agenda reformasi gaji.
Katanya lagi, PAS hanya tahu mengkritik tanpa sebarang cadangan bernas, malah ketika parti itu bersama kerajaan dahulu, harga minyak turun naik tanpa kawalan jelas sehingga membebankan rakyat.
"Hari ini, bila kerajaan ambil langkah meringankan beban, walau sedikit, PAS pula memperlekeh.
"Enam sen kecil, tapi cukup buat PAS hilang akal. Itulah tanda otak mereka lebih ringan daripada duit syiling.
“Perbezaan jelas, rakyat tahu bersyukur walau kecil nikmatnya," katanya lagi.