Ahli Parlimen PN menggesa pihak berkuasa melaksanakan siasatan menyeluruh ke atas kematian seorang murid tahun empat yang ditemui tidak sedarkan diri dalam tandas sebuah sekolah di Senawang, Negeri Sembilan, awal bulan ini.
Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk semua pelajar namun insiden yang menyebabkan kehilangan nyawa di institusi terbabit terus berlaku dari semasa ke semasa.
Keadaan itu, katanya, menunjukkan kegagalan semua pihak dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjamin keselamatan di institusi-institusi di bawahnya, , terutama di peringkat sekolah rendah.
“Siasatan terperinci perlu dijalankan segera untuk mengetahui apakah pelajar terbabit telah meninggal dunia semasa dijumpai di sekolah itu.
“Siasatan juga perlu menumpukan kemungkinan kematian pelajar berkenaan adalah akibat perbuatan jenayah iaitu bunuh.
“Apa yang menghairankan ialah, difahamkan kes ini hanya diklasifikasikan sebagai kes buli dan disiasat mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan, bukannya satu kes bunuh di bawah seksyen 302 kanun yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 1 Okt lalu seorang murid ditemui tidak sedarkan dalam tandas sekolahnya dan dibawa ke sebuah pusat perubatan swasta oleh seorang guru sebelum disahkan sudah meninggal dunia.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, kemudian menjelaskan kes tersebut ada kaitan dengan kes buli dan disiasat mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan.
Katanya bezah siasat menunjukkan mangsa yang berusia 10 tahun itu meninggal dunia akibat tekanan pada lehernya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pula memberi jaminan bahawa KPM akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam proses siasatan kes tersebut.
Dia juga meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi.
Kata Takiyuddin, PN kesal kerana Fadhlina dilihat tidak mengambil langkah segera yang serius bagi menangani kes berkenaan seperti menubuhkan jawatankuasa siasatan di peringkat KPM.
“Sebaliknya (menteri) hanya mengatakan banyak yang perlu diperhalusi dan ia mengambil masa sebelum memaklumkan perkara tersebut ke pengetahuan masyarakat,” katanya.