Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan bahawa penggantungan Noor Azman Rahman telah berakhir, sekali gus kembali menggalas tugas sebagai Setiausaha Agung FAM berkuat kuasa serta-merta.
Noor Azman sebelum ini digantung tugas berhubung dakwaan pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain “warisan” dalam pasukan kebangsaan.
"Dengan keputusan terbaru ini, ia menunjukkan bahawa Noor Azman hanya terkait dalam kecuaian pentadbiran dan tidak bersalah atau terlibat dalam hal pemalsuan dokumen," kata FAM dalam kenyataan.

Menurut badan induk bola sepak negara itu, Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 22 Dis tahun lalu telah membincangkan hasil laporan daripada Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) dan ketika itu membuat keputusan meneruskan penggantungan Noor Azman bagi membawa kes tersebut ke Jawatankuasa Tatatertib FAM bagi tindakan lanjut.
"Justeru, Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan oleh Dr Baljit Singh Sidhu telah bermesyuarat dan setelah mengambil kira tempoh penggantungan yang telah dikenakan ke atas beliau dan juga laporan IIC bertarikh 15 Disember 2025, memutuskan untuk mengembalikan Datuk Noor Azman kepada tugasnya sebagai Setiausaha Agung FAM berkuat kuasa serta-merta," katanya.
Pada 22 Dis lalu, Presiden sementara FAM, Yusoff Mahadi, memaklumkan bahawa Fifa telah meminta untuk meneliti perananan, tanggungjawab, dan penglibatan Azman, khususnya mengenai aliran dan pengendalian dokumen, berkaitan siasatan terhadap dakwaan pemalsuan dokumen kewarganegaraan.
Yusoff juga menyatakan bahawa kes Azman telah dirujuk kepada “jabatan kerajaan yang berkaitan”.

Dalam laporan IIC yang diterbitkan pada 16 Dis, jawatankuasa itu mendapati FAM kurang pengawasan dalaman yang betul, dan mencadangkan tindakan tatatertib ke atas Azman, yang sebelum ini digantung pada 17 Okt.
Panel itu menyatakan bahawa pengurus undang-undang FAM, Zainul Ariffin, telah memuat naik dokumen kelayakan pemain ke portal perundangan Fifa atas arahan Azman.
Namun, IIC mendapati arahan tersebut diberikan tanpa pengesahan kesahihan dokumen, walaupun rekod kelahiran asal bertulis tangan tidak dapat diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara.
Fifa sebelum ini memulakan siasatan terhadap FAM dan tujuh pemain Harimau Malaya — Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel.

Siasatan badan bola sepak dunia itu mendapati FAM mengemukakan dokumen yang didakwa dipalsukan untuk mengesahkan kelayakan pemain berkenaan, yang membolehkan mereka bertanding dalam perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun, di mana Malaysia menang 4-0 menentang Vietnam.
Berikutan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak 350,000 franc Switzerland (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Switzerland dan digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.
Susulan penolakan Jawatankuasa Rayuan Fifa pada 3 Nove terhadap rayuan yang difailkan oleh FAM dan pemain, yang mendakwa terdapat kesilapan teknikal, FAM pada 8 Disember telah mengemukakan Pernyataan Rayuannya kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).





